Seorang wanita dikenali sebagai Nursyafiqah Hermansah, 28 telah didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini, atas pertuduhan menipu isteri kepada pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi membabitkan jumlah RM105,380 berhubung penahanan kes dadah lelaki itu.
Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh yang juga dikenali sebagai Ika mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Advertisement
Foto: Berita Harian
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa menipu Afreena dengan memperdayakan mangsa untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan yang telah dikenakan ke atas Along.
Ika mendorong mangsa membayar wang berjumlah RM105,380 kepada tertuduh melalui 26 transaksi kepada lima akaun bank berbeza.
Dalam pada itu, perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, sekitar pada jam 6.06 petang 22 Disember tahun lalu hingga jam 1.24 petang pada 14 Januari lalu.
Bagaimanapun, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Foto: Sinar Harian
Terdahulu, media melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang RM95,180.
Hal ini susulan daripada tindakan Afreena yang menyerahkan wang tersebut untuk membantu mengurangkan hukuman mahkamah berhubung kes dadah melibatkan Along Cham.
Usai laporan diterima, polis kemudian bertindak untuk menahan suami isteri berusia 20-an di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada 29 Januari lalu.
Hasil siasatan mendapati wanita tersebut mempunyai lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri iaitu di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.
Sumber: Sinar Harian