Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Suasana Sebak Selubungi Konvokesyen UPSI, Ijazah Anumerta Untuk Dua Penuntut Tragedi Gerik

suasana sebak warnai konvokesyen upsi, ijazah anumerta untuk dua penuntut tragedi gerik

Foto: BERNAMA

Advertisement

Suasana yang sepatutnya diselubungi keceriaan dan tepukan gemuruh di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini berubah menjadi lautan air mata. Istiadat Konvokesyen ke-27 universiti itu bertukar hiba apabila dua nama dipanggil bukan untuk disambut oleh graduan, tetapi oleh ibu dan ayah yang menahan sebak di dada.

Apabila nama Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman dan Allahyarhamah Fatin Nasrien Fadli disebut, dewan seakan terhenti seketika. Langkah perlahan kedua-dua bapa ke pentas Azman Mohamad, 63, dan Fadli Abd Rahman, 50 disambut dengan pandangan penuh simpati. Tiada senyuman seperti kebiasaan, hanya wajah sugul yang membawa seribu makna kehilangan.

suasana sebak warnai konvokesyen upsi, ijazah anumerta untuk dua penuntut tragedi gerik

Foto: BERNAMA

Kedua-dua anak gadis itu tidak lagi di dunia ini untuk menggenggam segulung ijazah yang mereka perjuangkan selama bertahun-tahun. Mereka antara 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, berhampiran Tasik Banding pada 9 Jun lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti perayaan.

suasana sebak warnai konvokesyen upsi, ijazah anumerta untuk dua penuntut tragedi gerik

Foto: BERNAMA

Namun hari ini, perjuangan mereka tetap diraikan. Ijazah anumerta itu disampaikan oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, yang sendiri kelihatan sebak dan mengesat air mata sewaktu menyerahkan skrol kepada keluarga arwah. Detik itu disusuli tayangan montaj mengenang tragedi hitam tersebut membuatkan seluruh dewan terdiam, ramai yang tunduk menahan hiba.

Walaupun jasad mereka tiada, semangat dan pengorbanan Nurly serta Fatin kekal hidup dalam ingatan warga UPSI. Mereka bukan sekadar graduan, tetapi lambang ketabahan, semangat menuntut ilmu dan kasih yang abadi antara anak dan ibu bapa.

Hari ini, dua nama itu diabadikan bukan sekadar di atas skrol, tetapi di hati setiap insan yang menyaksikan.

Al-Fatihah buat Nurly Shahirah Azman dan Fatin Nasrien Fadli. Segulung ijazah buat dua bidadari ilmu yang kini beristirahat di syurga.

Sumber: BERNAMA

 

SINAR Muzik Retro Terbaik