Foto: Kosmo
Ibu kepada kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30, hari ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.
Advertisement
Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu, bermula dari tarikh sabitan.
Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan setelah melihat bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes berkenaan, manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding seterusnya bagi mendengar rayuan hukuman terhadap tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Ismanira selaku individu yang bertanggungjawab menjaga Allahyarham Zayn Rayyan, 6 tahun ketika kejadian didakwa bersama-sama mengabaikan mangsa dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023, di kawasan sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berhampiran kediaman tersebut.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili oleh pasukan peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Sumber: Kosmo