Foto sekadar hiasan
Kerajaan Vietnam bakal melaksanakan undang-undang baharu mulai 15 Disember ini yang menetapkan hukuman denda terhadap ibu bapa atau penjaga yang memaksa anak mereka belajar secara berlebihan.
Advertisement
Menurut peraturan tersebut, mereka yang melanggar boleh dikenakan denda antara 5 juta dong (sekitar RM790) hingga 10 juta dong (sekitar RM1,580).
Langkah itu bertujuan melindungi kesejahteraan kanak-kanak serta mencegah tekanan emosi akibat beban pembelajaran yang terlalu berat, terutama dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Bagaimanapun, sebahagian ibu bapa menyuarakan rasa tidak setuju dengan pelaksanaan peraturan itu. Ada yang berpendapat tindakan mendesak anak belajar bukan satu bentuk paksaan, sebaliknya tanggungjawab untuk memastikan masa depan mereka lebih baik.
Seorang ibu turut berseloroh bahawa jika peraturan itu dikuatkuasakan, dia mungkin terpaksa menjual rumah semata-mata untuk membayar denda kerana anaknya sering menangis setiap kali disuruh belajar.
Sementara itu, beberapa pakar pendidikan menjelaskan bahawa undang-undang tersebut sebenarnya menekankan kepentingan keseimbangan antara pembelajaran dan kesihatan mental kanak-kanak, selain bertujuan mengelakkan sebarang bentuk penderaan psikologi akibat tekanan akademik melampau.
Sumber: Kosmo