
Foto: REUTERS
Advertisement
Selepas banjir maut yang melanda kawasan Aceh Tamiang minggu lalu, penduduk kini berdepan krisis kesihatan yang semakin membimbangkan apabila satu-satunya hospital yang masih beroperasi dilaporkan lumpuh sepenuhnya.
Bukan sahaja kemudahan kesihatan terputus, malah peningkatan kes penyakit pascabanjir termasuk jangkitan kulit, cirit-birit, leptospirosis serta demam berdarah yang mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan masyarakat setempat yang masih bergelut memulakan kehidupan selepas tragedi tersebut.
Menurut penduduk, kemudahan Hospital Umum Aceh Tamiang dihanyutkan banjir sehingga peralatan kritikal seperti generator, bilik rawatan dan wad utama tidak lagi dapat digunakan.
Seorang penduduk, Rahmawati, berkata situasi itu menyebabkan ramai mangsa tidak tahu ke mana harus mendapatkan bantuan perubatan.
“Anak saya demam sejak tiga hari lalu, tapi hospital tak boleh terima pesakit. Kami cuma bergantung pada ubat yang tinggal,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pegawai kesihatan daerah mengesahkan bahawa banjir berintensiti tinggi telah merosakkan hampir seluruh sistem sokongan hospital, termasuk bekalan elektrik, makmal serta farmasi. Beberapa kakitangan turut dipindahkan kerana keselamatan mereka turut terancam.
Ketika ini, rawatan kecemasan terpaksa dialihkan ke pusat pemindahan sementara dengan kapasiti dan kelengkapan yang amat terhad. Petugas kesihatan juga berdepan kekurangan ubat-ubatan asas, menjadikan usaha merawat pesakit semakin sukar.

Jurucakap Badan Mitigasi Bencana daerah pula memberi amaran bahawa gelombang penyakit berpotensi meningkat sekiranya air banjir tidak surut sepenuhnya dan perkhidmatan kesihatan tidak dapat dipulihkan segera.
“Kita bukan sahaja berdepan kemusnahan fizikal, tetapi risiko kesihatan yang serius. Pemulihan hospital perlu dipercepatkan,” katanya.
Penduduk kini hanya berharap pada bantuan luar termasuk perubatan bergerak, bekalan ubat dan sokongan logistik bagi mengelakkan situasi bertambah kritikal, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik.
Tragedi itu sekali lagi mengingatkan bahawa infrastruktur kesihatan di kawasan berisiko banjir perlu diperkuat, bukan sekadar untuk merawat, tetapi menyelamatkan nyawa ketika bencana melanda tanpa amaran.
Sumber: Astro Awani