Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Hafiz Suip Luah Rasa Sedih Berjauhan dengan Anak-Anak - “Saya Cuba Berdamai Dengan Keadaan, Tak Salahkan Sesiapa..”

hafiz suip luah rasa sedih berjauhan dengan anak-anak - “saya cuba berdamai dengan keadaan, tak salahkan sesiapa..”Foto: Instagram

Penyanyi terkenal tanah air, Hafiz Suip meluahkan bahawa antara perkara paling menyedihkan dalam kehidupannya adalah terpaksa berjauhan dengan anak-anak tersayang. Menurut beliau, keadaan itu masih berterusan sehingga kini dan menjadi satu daripada ujian paling besar yang perlu dihadapinya sebagai seorang bapa.

Advertisement

“Bila berjauhan dengan anak, itulah saat yang paling menyedihkan bagi saya. Sampai ke hari ini saya masih menghadapinya,” katanya dalam nada penuh emosi.

Perkongsian tersebut dibuat menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada petang Sabtu. Dalam rakaman itu, penyanyi lagu Terus Bersinar tersebut kelihatan tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata ketika berkongsi tentang kesukaran yang dilaluinya dalam kehidupan peribadi.

Dalam perkongsian itu, Hafiz menegaskan bahawa beliau memilih untuk terus bersyukur dan menerima segala takdir yang ditentukan oleh Tuhan. Beliau juga menolak untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku dalam hidupnya.

“Saya hanya mampu bersyukur atas setiap pemberian dan ketentuan daripada Allah. Saya cuba berdamai dengan keadaan, tidak mahu mencari salah sesiapa kerana apabila kita terlalu fokus kepada kesalahan, fikiran jadi kusut. Sebaliknya, apabila kita reda dan bersyukur, insya-Allah ketenangan serta kebahagiaan itu akan hadir,” ujar beliau.

Hafiz turut mengakui bahawa tidak mudah berhadapan dengan pelbagai persepsi masyarakat, lebih-lebih lagi apabila dirinya sering dinilai secara negatif tanpa mengetahui situasi sebenar yang sedang dialami.

“Banyak tanggapan masyarakat terhadap diri saya, tetapi yang paling menyedihkan ialah apabila ada yang hanya melihat saya dari sudut negatif semata-mata. Kita tidak mampu menutup mulut orang. Apa yang saya boleh buat hanyalah teruskan hidup seperti biasa. Lambat laun mereka akan faham dan mengenali kebenaran yang sebenar,” katanya lagi.

Perkongsian penuh kejujuran dan emosi itu ternyata menyentuh hati ramai pengikut serta peminatnya di media sosial. Rata-rata netizen menyatakan rasa simpati dan mendoakan agar Hafiz terus diberi kekuatan serta ketabahan dalam menempuh dugaan hidup, di samping dipermudahkan segala urusan dan diberi peluang untuk kembali bersama anak-anak yang dirinduinya.

Sumber: mStar Online

SINAR Muzik Retro Terbaik