Foto: Instagram
Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini kembali dengan dua karya terbaharu berjudul Peluk dan Alangkah, kedua-duanya terbitan Rocketfuel Entertainment, yang diangkat sebagai medium penyembuh serta penghubung emosi.
Advertisement
Menurut Hael atau nama penuhnya Hal Husaini Razmi, kedua-dua lagu ini saling berkait dalam menggambarkan kerinduan terhadap seseorang yang jauh dari sisi.
“Peluk mengangkat tema hubungan jarak jauh (LDR). Lagu ini ditulis sebagai bingkisan rasa rindu yang mendalam. Kadang-kadang rindu itu pahit, namun tetap ada keindahan di dalamnya,” katanya.
Lagu Peluk, yang menampilkan gandingan semula bersama penyanyi bersuara lunak, Nadeera, dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) drama bersiri Astro Mandul Bukan Pilihan lakonan Mira Filzah, Hun Haqeem dan Ayda Jebat.
“Bekerja dengan Nadeera sangat menyenangkan kerana dia seorang penyanyi yang jujur dalam menyampaikan emosi. Vokalnya menjadikan Peluk lebih hidup dan manis,” tambah Hael.
Sementara itu, Alangkah dijadikan OST untuk drama bersiri Thariq Ridzwan lakonan Meerqeen dan Qasrina Karim. Hael menyifatkan lagu ini lebih melankolia, sarat refleksi, serta menggambarkan cinta yang tidak kesampaian.
“Alangkah saya tulis berdasarkan kisah sebenar orang terdekat. Ada cinta yang tidak berakhir seperti diimpikan. Namun dalam setiap kepedihan itu, tetap ada sesuatu yang indah untuk dikenang,” ujarnya.
Hael turut menjelaskan kedua-dua lagu ini pada awalnya dirancang untuk dimuatkan dalam album Antonim: Part II. Namun, selepas diperdengarkan secara eksklusif ketika konsert Hael Husaini & Repertoire, permintaan peminat yang tinggi mendorong Rocketfuel Entertainment untuk melancarkannya lebih awal sebagai single digital.
“Ramai yang terus bertanya bila lagu ini akan dilancarkan. Saat itu saya sedar betapa pentingnya karya ini buat mereka. Lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi benar-benar menyentuh perasaan pendengar,” katanya.
Bagi Hael, setiap karya adalah refleksi perasaan, dan beliau berharap kedua-dua lagu itu mampu menjadi penguat kepada mereka yang merindui serta peneman kepada mereka yang terluka.
Sumber: HibGlam