Pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus bergantung kepada industri, dijangka akan naik untuk pekerja di negara ini.

Ia dilihat apabila industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam struktur gaji dalaman.
Advertisement
Menurut Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023, kenaikan kos sara hidup dan peningkatan inflasi di Malaysia memberikan kesan terhadap kemampuan rakyat untuk membiayai barangan keperluan serta gaya hidup.
Gaji dan kerjaya juga tidak berkembang sepanjang pandemik Covid-19 apabila syarikat-syarikat membekukan pengambilan pekerja, kenaikan gaji dan pembayaran bonus pada 2020.
"Bagi bertindak balas terhadap kenaikan kadar faedah, syarikat sedang menyemak semula penanda aras gaji masing-masing bagi mengekal dan menarik bakat baharu," tulisnya.
Malah, perkembangan kemahiran dari segi bakat dan kemahiran dalam tiga industri iaitu teknologi, pembuatan dan pembinaan juga akan meningkat.
"Industri teknologi akan menggunakan pendekatan pengurusan pekerja dan pengambilan pekerja yang lebih cermat, dengan menumpukan kepada permintaan bakat dalam perkomputeran awan, keselamatan siber, kepintaran buatan, Internet Segala-galanya (IoT), realiti maya serta blockchain.
"Permintaan bagi bakat teknikal dan komersial dalam industri pembuatan pula berterusan apabila syarikat berusaha meningkatkan transformasi digital 4.0 dalam automasi, pendigitalan serta pengalaman," kata laporan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian