
Dunia media sosial sekali lagi dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila seorang food vlogger dilaporkan meninggal dunia hanya beberapa jam selepas mencuba hidangan ekstrem seekor ketam yang dikenali sebagai devil crab. Aksi itu dipercayai dilakukan semata-mata untuk kandungan saluran YouTube miliknya.
Advertisement
Menurut laporan, krustasea tersebut mengandungi dua jenis toksin paling berbahaya di dunia yang tersimpan pada bahagian ototnya. Racun itu boleh menyerang sistem saraf dan menyebabkan kegagalan organ dalam tempoh singkat selepas dimakan. Walaupun kelihatan seperti ketam biasa, pakar menegaskan spesies ini memang tidak sesuai langsung untuk dijadikan makanan manusia.
Rakaman video yang sempat dimuat naik menunjukkan vlogger berkenaan kelihatan teruja ketika menyediakan hidangan itu. Namun beberapa jam kemudian, dia mula mengalami simptom serius seperti muntah, sesak nafas dan lemah seluruh badan sebelum dikejarkan ke hospital. Usaha menyelamatkan nyawanya gagal apabila toksin bertindak terlalu pantas.

Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen tentang budaya ‘buat apa saja demi tontonan’. Ramai mempersoalkan mengapa kandungan berbahaya terus dikejar tanpa memikirkan risiko nyawa sendiri. Tidak kurang juga yang menggesa platform media sosial mengetatkan garis panduan terhadap video melibatkan cabaran makanan ekstrem.
Pakar kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan aksi berisiko yang dipaparkan di internet. “Tidak semua yang kelihatan menarik di skrin selamat untuk dicuba. Sesetengah haiwan mempunyai racun semula jadi yang boleh membunuh dalam masa singkat,” jelas seorang toksikolog.
Tragedi ini menjadi peringatan pahit bahawa populariti dan jumlah tontonan tidak pernah setara dengan nilai sebuah nyawa. Dalam dunia digital yang semakin gila kandungan, batas keselamatan seharusnya tidak sesekali dikorbankan.