Foto: Gempak
Pelakon, Jasmin Suraya Chin meluahkan rasa bangga apabila filem lakonannya, Pavane for an Infant, terpilih mewakili Malaysia dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-98 yang bakal berlangsung di Los Angeles.
Advertisement
Menurut Jasmin, pemilihan karya arahan Chong Keat Aun itu merupakan penghargaan besar buat dirinya dan seluruh pasukan produksi yang bertungkus-lumus menjayakan filem tersebut.
“Saya benar-benar terharu dan bersyukur kerana ini kali pertama saya terlibat dalam filem yang melangkah ke pentas Oscar,” katanya.
Bagi Jasmin, kekuatan Pavane for an Infant bukan terletak pada nilai komersial semata-mata, tetapi pada penceritaan yang menyentuh emosi dan sinematografinya yang kuat.
Dalam filem itu, beliau memegang watak Nurul, seorang wanita khunsa yang berdepan konflik identiti apabila hak menentukan jantinanya diambil alih oleh orang lain.
Bagi menjiwai watak tersebut, Jasmin mengikuti latihan khas di bawah bimbingan pelakon terkenal Ida Nerina selain menjalani aktiviti seperti menunggang motosikal dan penggambaran secara bersendirian bagi memahami kehidupan watak Nurul yang datang daripada latar masyarakat B40.
Jasmin berharap kejayaan filem ini bukan sahaja membawa nama Malaysia ke peringkat dunia, tetapi juga membuka peluang lebih luas untuk karya tempatan diiktiraf di pentas antarabangsa.
Sumber: Gempak