Foto: The Indian Express
Sebuah pawagam di Mumbai meraikan ulang tahun ke-30 tayangan berterusan filem romantik ikonik Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ), yang kini mencatat rekod sebagai filem paling lama ditayangkan dalam sejarah perfileman India.
Advertisement
Pawagam Maratha Mandir di Mumbai bakal menandakan 30 tahun tayangan filem yang melonjakkan nama dua bintang besar Bollywood, Shah Rukh Khan dan Kajol, sejak ditayangkan buat kali pertama pada 20 Oktober 1995.
Filem yang bermaksud The Bravehearted Will Take the Bride ini dianggap simbol cinta moden dalam sinema Hindi dan terus menarik ratusan penonton ke tayangan pagi setiap hari.
“Saya sudah menonton filem ini kira-kira 30 kali dan akan terus menontonnya,” kata Mohammad Shakir, 60, kepada agensi berita AFP sambil membeli tiket berharga 40 rupee (kira-kira RM2.20).
DDLJ jauh mengatasi rekod tayangan lima tahun filem klasik Sholay (1975), dengan mengetengahkan konflik antara nilai konservatif ibu bapa India dan gaya hidup lebih bebas generasi muda diaspora India di luar negara.
Menurut pengurus pawagam, Manoj Desai, kebanyakan penonton harian terdiri daripada pelajar universiti dan pasangan muda.
“Setiap hari Ahad, kami masih menerima sekitar 500 penonton walaupun sudah tiga dekad berlalu,” katanya.
Antara babak paling ikonik dalam filem itu ialah saat heroin berlari ke arah kereta api yang sedang bergerak untuk bersama kekasihnya, adegan yang sentiasa disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.
“Itu detik yang membuatkan bulu roma berdiri. Ayahnya akhirnya melepaskan anak perempuannya sambil berkata, dia tidak akan menemui lelaki sebaik ini,” kata Desai.
Walaupun sudah 30 tahun berlalu, mesej cinta tulus dalam filem ini masih menyentuh hati generasi muda masa kini.
“Dalam dunia sekarang, banyak hubungan bersifat sementara. Tapi dalam filem ini, hero sanggup melakukan apa saja demi cinta tanpa mengharapkan balasan. Kami pernah menontonnya di televisyen dan telefon, tapi bila di layar besar, perasaannya lain memang meremang bulu roma,” kata Omkar Saraf, 23.
Desai turut berkongsi bahawa ada peminat setia yang menonton filem itu setiap tahun selama dua dekad, malah ada pasangan yang menontonnya semasa bercinta dan kembali ke pawagam selepas berkahwin.
“Satu pasangan pernah menontonnya ketika masih berpacaran, kemudian menjemput saya ke majlis perkahwinan mereka. Selepas pulang dari bulan madu, mereka datang semula untuk menonton filem ini,” katanya sambil ketawa.
Pada tahun 2015, tayangan harian DDLJ hampir dihentikan, namun bantahan kuat daripada peminat menyebabkan pawagam menarik balik keputusan itu, lapor Hindustan Times.
Pengkritik filem Baradwaj Rangan menggambarkan DDLJ sebagai karya yang sempurna kerana berjaya mempertembungkan nilai tradisional dan moden dalam budaya India.
“Ia menandakan satu titik penting dalam budaya India, sebab itu ia terus disayangi. Filem ini kini menjadi monumen budaya, saya percaya ia akan terus dimainkan, mungkin untuk selama-lamanya,” katanya.
Sumber: Al-Jazeera