Seorang wanita terlibat dengan kes penipuan urusan katering di satu majlis di Bandar Seri Jempol, di sini pada 25 Disember tahun lalu telah dipanggil pihak polis.
Polis meminta kerjasama wanita berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.
Advertisement

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, pihaknya memaklumkan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Fauziah Abdul Hamid, 40, dengan alamat terakhir dari Taman Alam Budiman, Shah Alam, Selangor, masih tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.
Tambahnya, wanita tersebut melakukan taktik kotor itu sehinggakan dipercayai pernah menghubungi pegawai penyiasat kes melalui individu yang mendakwa sebagai peguam wanita tersebut untuk menyelesaikan kes dengan membuat bayaran kepada mangsa.
“Bagaimanapun kita minta dia (Fauziah) untuk datang ke balai untuk bantu siasatan, namun dia enggan untuk memberikan kerjasama. Berdasarkan siasatan lanjut, syarikat katering berkenaan beroperasi menggunakan nama suami Fauziah dan suami Fauziah juga menghilangkan diri,” jelasnya.
Pihak polis masih mencari wanita berkenaan setakat ini dan menyeru orang ramai agar berhati-hati dengan kes penipuan urusan katering bagi mengelak menjadi mangsa.
Sumber: Kosmo Online