Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Erra Fazira Ambil Masa Lapan Tahun Untuk ‘Move On’ Selepas Putus Tunang Dengan Awie

erra fazira ambil masa lapan tahun untuk ‘move on’ selepas putus tunang dengan awieFoto: Facebook

Pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira, mendedahkan bahawa dirinya mengambil masa sehingga lapan tahun untuk benar-benar pulih selepas berpisah dengan bekas tunangnya, bintang rock terkenal Awie, lebih dua dekad lalu.

Advertisement

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 52, perpisahan yang berlaku pada ketika itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima. Malah, beliau seboleh mungkin mengelakkan diri daripada bertemu dengan Awie di mana-mana acara sepanjang tempoh berkenaan.

“Kami berpisah dengan cara yang tidak baik. Selama lapan tahun kami saling elak mengelak dan tidak bertegur sapa.

“Pernah kami terlibat dalam satu persembahan yang sama, namun saya pastikan kami tidak bertembung di belakang pentas. Kalau nampak Awie, saya akan lari kerana ketika itu saya mahu menjaga hati daripada terluka,” katanya menerusi sebuah program audio siar.

Bagaimanapun, Erra berkata, keadaan mula berubah selepas beliau menerima undangan untuk terbabit dalam sebuah program yang dihoskan sendiri oleh Awie.

“Selepas lapan tahun, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya ‘move on’. Saya tidak boleh terus lari dan mengelak selama-lamanya. Jadi, saya menerima undangan tersebut walaupun pada awalnya berdebar.

“Saya percaya Awie juga merasakan perkara yang sama kerana itulah pertemuan pertama kami selepas sekian lama. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar malah ketika itu Awie terus menjemput saya untuk terlibat dalam sebuah projek bersama,” katanya.

Untuk rekod, Erra dan Awie pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun sebelum mengikat tali pertunangan pada tahun 1997. Namun, ikatan itu berakhir pada tahun 1998.

Kedua-dua figura seni ini turut mencipta fenomena apabila membintangi filem pecah panggung Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam, yang sehingga kini masih dianggap antara karya paling ikonik dalam industri perfileman tempatan.

Sumber: Kosmo

SINAR Muzik Retro Terbaik