Skip to main content

Advertisement

Hiburan

[VIDEO] Di Sebalik Lumpur Banjir, Emas Muncul Membawa Rezeki Buat Penduduk Aceh Barat

[video] di sebalik lumpur banjir, emas muncul membawa rezeki buat penduduk aceh barat

Bencana banjir yang melanda Kabupaten Aceh Barat baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kesan kemusnahan, malah menghadiahkan satu kejutan luar jangka kepada penduduk setempat. Di sebalik lumpur tebal yang menenggelami rumah dan halaman, terselit cerita rezeki yang mengundang rasa teruja apabila sejumlah penduduk mendakwa menemui butiran emas di kawasan terjejas banjir di Gampong Seuradeuk, Kecamatan Woyla Timur.

Advertisement

Penemuan itu berlaku pada Jumaat lalu ketika penduduk bergotong-royong membersihkan kediaman masing-masing. Tanpa disangka, di celah timbunan lumpur yang dibersihkan, kelihatan butiran kecil berkilauan. Berita itu cepat tersebar dan suasana kampung bertukar meriah apabila penduduk mula mendulang menggunakan peralatan seadanya seperti dulang dan  bekas plastik demi mengumpul logam berharga tersebut.

 

@bangmaul1901 Becana membawa berkah. Paska Bencana Bajir Badang Warga Aceh Panen Butiran emas yang di bawah oleh lumpur yang hanyut terbawa Banjir Bandang. #banjirbandang #prayforaceh ♬ suara asli - Bang Maul

 

Rakaman detik-detik keterujaan mereka pantas tular di media sosial, mencuri perhatian warganet yang memberikan pelbagai reaksi. Ada yang teruja dan bersyukur bersama, tidak kurang juga yang mengingatkan agar penduduk berhati-hati serta mematuhi peraturan pihak berkuasa berkaitan pengurusan sumber mineral.

Fenomena ini turut mendapat penjelasan daripada sudut saintifik. Pensyarah dan penyelidik Sumber Daya Mineral dari Jabatan Kejuruteraan Geologi, Universiti Gadjah Mada (UGM), Lucas Donny Setijadji, menjelaskan bahawa wilayah Aceh sememangnya kaya dengan sumber mineral, khususnya emas. Menurut beliau, emas ialah logam yang tahan lasak dan mampu bertahan daripada proses hakisan.

[video] di sebalik lumpur banjir, emas muncul membawa rezeki buat penduduk aceh barat

“Apabila berlaku pergerakan tanah akibat banjir, butiran emas yang mempunyai ketumpatan tinggi akan kekal berhampiran sumber batuan asalnya,” jelas Lucas. Keadaan ini menyebabkan emas mudah tertumpu di kawasan tertentu selepas banjir surut, lalu berpotensi ditemui di permukaan atau dalam mendapan lumpur.

Kisah di Gampong Seuradeuk ini mengingatkan kita bahawa di sebalik ujian alam, terselit hikmah dan peluang yang tidak disangka. Namun, keselamatan dan kelestarian alam sekitar harus terus diutamakan. Rezeki yang hadir wajar diurus dengan bijak agar membawa manfaat berpanjangan kepada komuniti setempat.

SINAR Muzik Retro Terbaik