
Impian manusia untuk hidup di luar Bumi nampaknya bukan lagi cerita filem sains fiksyen. Usahawan teknologi sensasi Amerika Syarikat, Elon Musk, sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila mengumumkan rancangan berani SpaceX untuk membina bandar sebenar di Bulan dan Marikh dalam beberapa dekad akan datang.
Advertisement
Menerusi hantaran terbaharunya di platform X, Musk mendedahkan bahawa fokus utama syarikat angkasa lepas itu kini tertumpu kepada pembinaan penempatan yang mampu berkembang sendiri di Bulan terlebih dahulu.
“SpaceX mengalihkan fokus kepada pembinaan sebuah bandar yang berkembang sendiri di Bulan kerana kami berpotensi mencapainya dalam tempoh kurang daripada 10 tahun, manakala Marikh akan mengambil masa lebih 20 tahun,” tulisnya seperti dipetik laporan Sputnik/RIA Novosti.
Menurut figura terkaya dunia itu, projek di Marikh juga tidak kurang hebatnya. SpaceX menyasarkan untuk mula membangunkan bandar di planet merah tersebut dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang. Namun cabaran ke Marikh jauh lebih kompleks berbanding Bulan.
Musk menjelaskan, penerbangan ke Marikh hanya boleh dilakukan ketika kedudukan planet berada sejajar dan ia merupakan fenomena yang berlaku setiap 26 bulan. Lebih mencabar, perjalanan sehala ke sana mengambil masa kira-kira enam bulan!
Berbeza dengan Bulan, roket SpaceX boleh dilancarkan setiap 10 hari dan perjalanan hanya memakan masa sekitar dua hari sahaja. Faktor inilah yang membuatkan projek bandar di Bulan dilihat lebih realistik dan boleh dilaksanakan dengan lebih pantas.

Untuk rekod, SpaceX ditubuhkan oleh Musk pada tahun 2002 dengan visi besar menjadikan manusia sebagai spesies pelbagai planet. Daripada roket boleh guna semula hinggalah misi membawa angkasawan ke orbit, banyak sasaran syarikat itu yang dahulunya dianggap mustahil kini sudah menjadi kenyataan.
Persoalannya, adakah kita bakal menyaksikan generasi akan datang membeli rumah teres di Bulan atau kondominium menghadap kawah Marikh?
Sumber: BERNAMA