Ratu rock negara, Ella, bakal kembali menggegarkan pentas berskala besar apabila beliau mengumumkan konsert terbaharu bertajuk ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’, yang akan berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Lokasi tersebut bukan sahaja simbolik, tetapi turut menyimpan sejarah penting dalam perkembangan seni Ella sepanjang lebih tiga dekad.
Advertisement
Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, dan dianggap antara projek terbesar mereka setakat ini. Penganjur menyasar agar acara itu menjadi satu bentuk penghargaan terhadap karya Ella yang konsisten meninggalkan impak besar dalam industri muzik tempatan. Pada masa sama, penganjuran ini turut diharap menjadi medan penyatuan para peminat, penggiat seni serta masyarakat pelbagai lapisan.
Tema Kemanusiaan Sebagai Teras Konsert
Penganjuran kali ini membawa tema ‘Peace, Love & Rindu’, iaitu tiga nilai kemanusiaan yang dekat di hati Ella dan ingin diketengahkan menerusi karya serta mesej sosial.
Menurutnya, pemilihan nama ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ bukan hanya merujuk kepada gelarannya sebagai Ratu Rock, tetapi sebuah gagasan yang mahu membawa impak lebih luas kepada masyarakat.
“Saya akan mencapai usia 60 pada tahun 2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan ‘Peace, Love & Rindu’,” kata Ella lagi.
Dalam konsert ini, ‘Peace’ merujuk kepada sokongan terhadap perjuangan rakyat Gaza, ‘Love’ memberi perhatian kepada isu buli terutamanya melibatkan pelajar di Malaysia, manakala ‘Rindu’ pula didedikasikan buat penggiat seni yang terus berbakti kepada industri hiburan tanah air.
Pendekatan Tiket Mampu Milik Berserta Unsur Amal
Mengambil pendekatan berbeza daripada kebanyakan konsert mega, penganjur memilih untuk menawarkan harga tiket mampu milik agar ia dapat dinikmati oleh khalayak yang lebih luas. Pendekatan ini selari dengan hasrat penganjur dan Ella untuk memberi kembali kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
Rohit Rampal selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, menjelaskan bahawa setiap pembeli tiket akan diminta memilih satu daripada tiga tabung sumbangan: Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara) atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair). Setiap pilihan akan disertakan sumbangan RM2 kepada organisasi berkaitan, menjadikan konsert ini turut membawa nilai kebajikan.
Cabaran dan Motivasi Ella
Mengulas mengenai persiapan, Ella mengakui bahawa sudah lama beliau tidak membuat persembahan di pentas sebesar Stadium Nasional. Namun, bagi beliau, cabaran ini menjadi pembakar semangat untuk menghadirkan persembahan yang bukan sahaja berkualiti dari sudut muzik dan visual, tetapi juga bermakna buat peminatnya.
Ella menyatakan bahawa hampir 40 tahun berada dalam industri bukanlah perjalanan yang mudah, namun kecintaannya terhadap seni dan sokongan peminat menjadi sumber kekuatan untuk terus berkarya.
Harapan Ella Untuk Konsert Ini
Menutup kenyataannya, Ella berharap agar penganjuran ini akan memberi manfaat kepada pertubuhan amal yang terlibat, selain menjadi suntikan semangat kepada generasi muda untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Beliau juga berharap agar seni terus dihargai, dan para penggiat industri diberikan pembelaan sewajarnya.
“Jangan lupa undi ‘Peace, Love atau Rindu’, dan jumpa di Majlis Tertinggi Rockqueen nanti!” katanya lagi.