Foto: Astro AWANI
Penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami serta empat rakan mereka dibebaskan sepenuhnya daripada tahanan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada hari ini.
Advertisement
Pembebasan tersebut dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pihak pendakwa raya untuk menyambung tempoh bagi mengemukakan rayuan buat kali keenam.
Difahamkan, pihak mahkamah kini sedang menguruskan dokumen rasmi pembebasan kesemua individu terlibat sebelum diserahkan kepada pihak penjara untuk tindakan selanjutnya.
Sehingga pukul 1.10 tengah hari waktu tempatan, beberapa pegawai imigresen dilaporkan sudah berada di penjara tersebut bagi mengiringi kesemua mereka ke sempadan Sungai Golok.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Eda Ezrin bersama suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35 tahun, serta empat rakan mereka iaitu Eridieka Mohd Noor, 33 tahun, Mohamad Alif Deraman, 33 tahun, Nur Aida Mamat, 33 tahun dan Zuhaira Nasrin, 26 tahun, dibebaskan daripada pertuduhan memiliki sebanyak 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Narathiwat.
Bagaimanapun, selepas keputusan itu, mereka perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat sementara menunggu pihak pendakwaan mengemukakan rayuan dalam tempoh antara satu hingga empat bulan.
Sumber: Astro AWANI