
Foto sekadar hiasan
Advertisement
Demensia sering kali disalah anggap sebagai masalah biasa dalam kalangan warga emas, bermula dengan simptom yang kelihatan ringan seperti mudah lupa nama, mengulang cerita, atau tersalah meletakkan barang. Namun hakikatnya, penyakit ini kini menjadi satu ancaman senyap yang semakin merebak dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa disedari.
Pertambahan populasi berusia dan peningkatan penyakit kronik seperti kencing manis serta tekanan darah tinggi telah menjadi antara faktor penyumbang utama kepada peningkatan kes demensia. Statistik menunjukkan kira-kira 16 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas mengalami penyakit ini.
Walaupun kajian tempatan melaporkan lebih 200,000 rakyat Malaysia hidup dengan demensia, jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi berikutan tahap kesedaran yang masih rendah serta kekurangan akses kepada pemeriksaan kesihatan berkaitan.
Di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa lebih 55 juta individu di seluruh dunia sedang hidup dengan demensia. Angka ini dijangka meningkat kepada 78 juta menjelang tahun 2030, menjadikan demensia sebagai salah satu isu kesihatan global yang semakin membimbangkan.
Pakar Neurologi dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Mohamad Imran Idris menjelaskan bahawa kehilangan keupayaan untuk menjalankan tugas harian seperti memasak, mengurus kewangan, dan berkomunikasi merupakan antara tanda awal demensia yang perlu diberikan perhatian serius.
Menurut beliau, demensia tidak boleh disamakan dengan masalah pelupa biasa yang sering dikaitkan dengan proses penuaan. Bezanya, demensia melibatkan gangguan terhadap fungsi pemikiran sehingga memberi kesan kepada kehidupan seharian. Antara gejala utama termasuk kesukaran bertutur, membuat keputusan, menilai situasi, serta ketidakmampuan mengenali wajah yang biasa dilihat.
“Apabila gejala-gejala seperti ini mula kelihatan, itu adalah masa yang sesuai untuk mendapatkan bantuan perubatan,” katanya. Beliau turut menjelaskan kekeliruan umum dalam kalangan masyarakat yang sering menyamakan penyakit Alzheimer dengan demensia. Jelasnya, Alzheimer hanyalah salah satu bentuk demensia, manakala demensia itu sendiri adalah istilah umum merangkumi pelbagai jenis penyakit berkaitan kemerosotan fungsi otak.
“Walaupun Alzheimer sering mendapat perhatian, di Malaysia, demensia vaskular juga sangat kerap berlaku. Ia berpunca daripada gangguan aliran darah ke otak, biasanya selepas serangan strok atau akibat penyakit kronik seperti hipertensi,” ujar beliau.
Dr Imran turut menjelaskan bahawa faktor-faktor seperti tekanan darah tinggi, kolesterol yang tinggi, merokok dan diabetes merupakan penyumbang besar kepada demensia vaskular, dan kesemua faktor ini lazim ditemui dalam kalangan rakyat negara ini.
Tambah beliau lagi, tanggapan bahawa demensia hanya menyerang warga emas adalah kurang tepat. Terdapat juga kes melibatkan individu berumur seawal 30-an dan 40-an yang menunjukkan tanda awal penyakit ini, khususnya selepas mengalami strok atau menghidap penyakit kronik yang tidak dikawal dengan baik selama bertahun-tahun.
“Demensia bukan sekadar masalah penuaan atau kemurungan. Ia boleh menyerang sesiapa sahaja, termasuk orang dewasa yang lebih muda,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, Dr Imran menekankan bahawa penjagaan gaya hidup secara menyeluruh adalah penting untuk kesihatan otak. Selain pemakanan sihat dan senaman berkala, beliau turut menegaskan kepentingan tidur yang mencukupi serta penglibatan aktif dalam aktiviti sosial.
“Bersosial dan berbual dengan rakan-rakan, menyertai perbualan serta berinteraksi secara spontan boleh merangsang otak dan membantu mengekalkan fungsi kognitif. Permainan digital yang bersifat berulang mungkin kelihatan membantu, tetapi impaknya dalam jangka panjang sebenarnya tidak besar,” katanya.
Meskipun demensia sebelum ini dianggap sebagai penyakit tanpa harapan, kini wujud rawatan baharu yang dapat memperlahankan kemerosotan fungsi otak melalui penggunaan ubat-ubatan moden. Alat saringan awal juga semakin mudah diakses, termasuk penilaian kognitif secara digital serta ujian darah yang boleh mengesan perubahan awal pada otak.
Bagaimanapun, Dr Imran menasihatkan agar ujian genetik hanya dilakukan dengan panduan serta nasihat pakar perubatan, bagi memastikan keputusan yang diperoleh digunakan dengan tepat dan beretika.
Sebagai penutup, beliau menggesa orang ramai untuk mula memberi perhatian kepada kesihatan otak seawal usia 40-an dan 50-an dengan mengamalkan tabiat hidup sihat, termasuk mengawal tekanan darah, kekal aktif secara sosial, mendapat tidur yang berkualiti serta mengambil makanan seimbang.
“Ini bukan sekadar amalan gaya hidup sihat, tetapi merupakan satu pelaburan jangka panjang untuk mengekalkan fungsi kognitif. Jika kita menjaga jantung bagi mengelakkan serangan jantung, mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk otak? Demensia bukan lagi penyakit khusus warga emas, dan mengabaikannya tidak akan menjadikan ia hilang,” tegasnya.
Sumber: Bernama