
Foto Hiasan
Advertisement
Dalam sejarah komunikasi manusia, merpati pos bukan sekadar burung biasa, ia adalah wira senyap yang pernah menyelamatkan ribuan nyawa. Namun, di sebalik kepakarannya mengirim surat dan menemukan jalan pulang, satu persoalan besar terus bermain di kepala kita bagaimana merpati pos tahu ke mana harus pergi?
Dalam Perang Dunia I, ketika dunia dibanjiri teknologi baharu seperti tanki, pesawat tempur, gas beracun dan senjata automatik, merpati pos masih digunakan secara meluas di parit-parit peperangan. Hebatnya, burung-burung kecil inilah yang banyak kali menyelamatkan pasukan tentera.
Dua ekor merpati paling terkenal ialah President Wilson dan Cher Ami.
President Wilson membantu menghantar permintaan sokongan artileri ketika pertempuran Meuse-Argonne.
Cher Ami pula menjadi legenda walaupun ditembak di dada dan kehilangan satu kaki, dia tetap berjaya menghantar mesej penting agar serangan artileri dihentikan bagi mengelakkan friendly fire.
Kerana jasanya, Cher Ami menerima pingat Croix de Guerre daripada kerajaan Perancis.
Begitu hebatnya burung ini, sehinggakan teknologi moden ketika itu masih gagal menggantikan kepercayaannya.
Sejak 1350 SM, merpati pos sudah digunakan di Mesir Kuno dan peradaban Mesopotamia. Bahkan, sehingga 2025, polis di Odisha, India masih memelihara lebih 150 ekor merpati pos untuk operasi rasmi.
Bayangkan zaman manusia sudah ada telefon satelit, tetapi merpati pos masih relevan.
Selama berdekad-dekad, saintis bingung bagaimana merpati tahu arah pulang. Ada teori kata ia menggunakan mata. Ada yang kata melalui paruh. Ada yang kata ia membaca bintang.
Namun, satu kajian besar oleh para penyelidik di Ludwig-Maximilians-Universität (LMU) München akhirnya menemui jawapannya. Bahagian otak yang aktif ialah medial vestibular nukleus pusat keseimbangan yang menerima input daripada telinga bahagian dalam. Dengan kata lain, kompas merpati sebenarnya berada di telinga, bukan mata atau paruh.
Penyelidik menemui sel rambut jenis Type II dalam telinga merpati yang bertindak seperti sensor elektrik pada ikan pari dan jerung. Apabila merpati menggerakkan kepalanya, perubahan medan magnet di sekeliling menghasilkan induksi elektromagnetik dalam cairan endolimfa telinganya. Sel rambut ini menangkap isyarat tersebut dan menghantarnya ke otak.

Foto Hiasan
Dalam satu kajian lain oleh University of Iowa, merpati diperlihatkan ribuan pola visual abstrak. Mereka perlu mengkategorikan pola tersebut, tekan butang kiri atau kanan. Selepas ribuan pengulangan, merpati mampu mencapai ketepatan lebih 90%.
Saintis menyimpulkan bahawa cara merpati belajar mirip proses latihan kecerdasan buatan (AI).
Burung kecil ini membuktikan bahawa kecerdasan tidak semestinya ditentukan oleh saiz otak tetapi oleh evolusi, adaptasi dan ketabahan.
Tidak hairanlah merpati pos pernah menjadi penyelamat perang, penyampai berita, dan rakan manusia selama ribuan tahun.
Siapa sangka?
Di balik sayapnya yang sederhana, tersimpan teknologi biologi yang lebih hebat daripada GPS.
Sumber: ResearchPortal