Foto: Tangkap layar video
Siapa sangka, kanak-kanak berusia tujuh tahun kini sudah menjadi ‘mahasiswa kecil’ di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.
Advertisement
Theodore Kwan, budak genius dengan IQ setinggi 154, menghadiri kuliah kimia asas tiga kali seminggu sejak Ogos lau, lengkap dengan tablet, nota dan botol air seperti pelajar universiti lain.
Walaupun bukan pelajar berdaftar, Theodore diterima sebagai ‘tetamu khas’ oleh Pensyarah Kanan NTU, Dr. Sumod Pullarkat, dan sentiasa ditemani ibu atau bapanya semasa kuliah.
Pada usia enam tahun 10 bulan, Theodore mencipta sejarah sebagai individu termuda di Singapura memperoleh gred A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi subjek Kimia. Kejayaan itu turut melayakkan beliau memegang lima rekod kebangsaan, termasuk peserta termuda mendapat markah penuh dalam Olimpik Sains.
@majoritiofficial Theodore Kwan, kanak-kanak pintar dengan IQ 154 kini mencuri perhatian apabila menjadi 'tetamu istimewa' di kuliah Kimia asas di NTU Singapura.. Klik link untuk baca artikel penuh #universititerkemukasingapura #pelajar #ntusg#trendingnewsmalaysia #beritaditiktok #majoriti ♬ Fly - Art Music
Naib Presiden merangkap Provos NTU, Prof. Christian Wolfrum, turut memuji kebolehan luar biasa itu dan menyatakan universiti sentiasa terbuka menerima pelajar berbakat tanpa mengira usia.
Menurut ibunya, Crystal Tang, Theodore seorang anak yang sangat dahagakan ilmu dan aktif menyertai perbincangan di kuliah. Keperibadiannya yang periang menjadikannya cepat mesra dengan para pelajar universiti lain.
Walaupun mempunyai kebijaksanaan luar biasa, ibu bapanya tetap memastikan Theodore menikmati zaman kanak-kanak yang seimbang iaitu bermain, berehat dan bersosial seperti rakan sebaya lain.
Kisah Theodore menjadi inspirasi buat ibu bapa agar terus percaya bahawa setiap anak memiliki potensi luar biasa yang boleh digilap dengan bimbingan dan sokongan yang betul.
Sumber: Majoriti