Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan makanan yang dibawa ibu bapa masing-masing dari sebuah program sekolah di Gombak pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, pihaknya menerima dua laporan kematian berkaitan kejadian tersebut semalam.
Advertisement
Memetik laporan Kosmo!, terdapat dua kes berkaitan iaitu yang pertama melibatkan seorang lelaki berusia 17 tahun di mana makanan tersebut dibawa pulang ibunya dari program sebuah sekolah.
“Untuk kes yang pertama, hasil siasatan mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun telah makan makanan dibawa balik ibunya dari program di sebuah sekolah, Sabtu lalu.
“Selepas makan makanan tersebut, mangsa, ibu serta bapanya mengalami cirit-birit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bapa mangsa membuat panggilan kecemasan selepas mangsa tidak sedarkan diri sekitar 1.30 tengah hari, semalam. Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Manakala bagi kes yang kedua membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dimana makanan dari program sekolah tersebut dibawa pulang bapanya yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sekolah terbabit.
“Pada Sabtu lalu, bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membawa balik makanan daripada program di sebuah sekolah yang sama.
“Semalam, ibu mangsa mendapati anaknya demam, muntah serta cirit-birit lalu menghantar anaknya ke Hospital Selayang.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan oleh pegawai Hospital Selayang,” katanya.
Jelas beliau, mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat pengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 0125018901,” katanya.
Sumber : KOSMO!