
Foto: Harian Metro
Advertisement
Seorang bayi perempuan dilaporkan masih hidup ketika ditemui di dalam sebuah beg di bawah garaj kereta di hadapan sebuah rumah penduduk di Taman Semarak, di Sungai Petani semalam.
Perkara itu diberitahu dan disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan bayi itu jam 11.39 pagi dan ketika ditemui, bayi perempuan itu masih bertali pusat dan diletakkan dalam sebuah beg berwarna merah hati di atas bangku di bawah garaj kereta rumah berkenaan.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) ditemui di sekitar lokasi terbabit dan tiada saksi yang nampak suspek meninggalkan tempat kejadian.
"Saksi memaklumkan hanya mendengar tangisan bayi jam 11 pagi dari beg berkenaan, selepas membukanya didapati seorang bayi dalam keadaan bogel," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Azharuddin turut memberitahu, wanita itu turut bertindak menghubungi polis dan menutup bayi berkenaan dengan sehelai lampin dan tuala disebabkan bayi perempuan itu kesejukan.
"Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan sihat dan bersih serta tiada sebarang kesan kecederaan.
"Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk pemeriksaan kesihatan,” ujarnya lagi.
Susulan daripada itu, butiran mengenai anggaran umur dan keadaan kesihatan bayi perempuan itu belum diperoleh daripada pegawai perubatan dan penemuan bayi itu sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, polis akan membuat semakan dengan pihak klinik kesihatan atau hospital untuk mendapatkan butiran ibu yang baru melahirkan anak dalam tempoh terdekat ini.
Untuk makluman, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Sumber: Harian Metro