Foto: APM Negeri Perak
Keadaan banjir di Perak terus menunjukkan peningkatan apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,776 orang daripada 609 keluarga setakat jam 4 pagi Jumaat.
Advertisement
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, dua daerah yang masih terjejas ialah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung, dengan sebanyak 23 PPS kini beroperasi.
Daerah LMS mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,413 orang daripada 502 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS. Di daerah Manjung pula, seramai 363 mangsa daripada 107 keluarga ditempatkan di tiga PPS yang dibuka bagi menampung penduduk terjejas.
Antara kawasan terjejas di LMS ialah Kampung Simpang Halt, Batu 8, Ulu Sepetang, Matang Gelugor, Matang dan Changkat Jering. Beberapa PPS dibuka di daerah itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Masjid Alwusta Batu 8, Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang serta SK Bukit Jana.
Di Manjung pula, PPS dibuka di SK Sungai Batu, Pantai Remis; SK Beruas; serta Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru. Kebanyakan mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang dan Kampung Pulau Kabung.
Beberapa PPS di kedua-dua daerah dilaporkan masih dalam proses pendaftaran mangsa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Antara agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan dan pemantauan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam kenyataannya turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan di Perak pada Jumaat, yang dijangka meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
Paras air Sungai Kurau di Batu 14, Batu Kurau, serta Sungai Kerian di Selama kini dilaporkan menghampiri tahap amaran. Paras air di Empangan Bukit Merah pula berada pada 8.19 meter, hampir menyamai paras normal penuh iaitu 8.7 meter.
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menasihatkan penduduk terutama di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS berdekatan sekiranya diarahkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan pihaknya telah melakukan pelepasan air di Alur Limpah Utara dengan kadar semasa 300 cusec bagi menstabilkan paras air ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lalu di daerah Kerian.
Langkah itu diambil sebagai kawalan bagi mengelakkan risiko limpahan besar di kawasan rendah berhampiran sistem saliran utama.
Sumber: Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak