Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Banduan Thailand Larikan Diri Kerana Terlalu Rindukan Anak

banduan thailand larikan diri kerana terlalu rindukan anak

Foto: Thaiger

Advertisement

Seorang banduan di Thailand sanggup mengambil risiko besar dengan melarikan diri dari penjara semata-mata kerana terlalu merindui bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan. Menurut portal berita Thaiger, insiden itu dilaporkan berlaku di Wilayah Nonthaburi.

Jabatan Penjara Thailand kini meminta kerjasama orang awam untuk membantu menyalurkan maklumat bagi menjejaki banduan berkenaan, iaitu Anuchit Sooksud, 33 tahun, yang dilaporkan melarikan diri ketika sedang bertugas di sebuah kedai kopi dikenali sebagai Hubpoei, premis yang dikendalikan oleh Penjara Wilayah Nonthaburi.

Anuchit sebelum ini ditahan pihak berkuasa selepas didapati cuba melakukan jenayah kecurian. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun, dan dia telah menjalani hukuman selama lapan bulan. Sekiranya tidak melarikan diri, dia dijadualkan bebas dalam tempoh empat bulan lagi.

Namun, ketika bertugas bersama banduan lain di kedai kopi tersebut, Anuchit mengambil peluang untuk melarikan diri. Dia dilaporkan mencuri sebuah motosikal milik pegawai penjara dan meninggalkan kawasan itu dalam pakaian seragam banduan berwarna oren.

Tidak lama kemudian, pihak polis menemui pakaian seragam yang dipercayai milik Anuchit yang telah dibuang di bawah Jambatan Maha Chesadabodindranusorn. Bagaimanapun, tiada kelibat banduan berkenaan ditemui di kawasan tersebut.

Hasil siasatan lanjut membawa polis ke sebuah rumah saudara mara Anuchit yang terletak di wilayah Ang Thong. Di situlah dia berjaya ditahan semula oleh pihak berkuasa.

Ketika disoal siasat, Anuchit akhirnya mengakui tindakannya melarikan diri adalah kerana tidak dapat menahan kerinduan terhadap bayi kecilnya yang baru berusia lima bulan.

Namun begitu, tindakan nekad itu menyebabkan dia kini berdepan hukuman lebih berat. Selain daripada baki hukuman penjara asal, dia juga bakal menerima hukuman tambahan akibat kesalahan melarikan diri serta mencuri motosikal milik pegawai penjara.

Sumber: Thaiger

SINAR Muzik Retro Terbaik