Foto: Facebook
Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat meluahkan rasa kurang senang apabila nama bapanya sering dijadikan bahan gurauan oleh segelintir individu yang tidak peka dengan keadaan sebenar.
Advertisement
Menurut Ayda, bapanya kini sedang berdepan masalah kesihatan selepas diserang strok, namun masih ada pihak yang secara berseloroh memanggilnya dengan nama ‘Jebat Derhaka’ yang merupakan satu perkara yang dianggap tidak wajar dan menyentuh hati.
“Kadang-kadang bila jumpa pakcik makcik, mereka akan cakap ‘Oh ni lah Ayda Jebat! Anak si Jebat Derhaka tu!’ sambil ketawa. Tapi itu kan nama bapa saya. Orang tu tengah berjuang nak sembuh dari strok, tapi masih boleh pula dijadikan bahan lawak,” katanya.
Ayda berkata, walaupun terasa dengan gurauan itu, dia tetap memilih untuk berdiam diri dan tidak memperbesarkan perkara tersebut kerana menghormati orang yang lebih berusia.
“Tak tahu nak ambil hati ke tak, tapi bila fikir balik, sebab mereka orang tua, saya cuma senyum saja. Cuma terdetik nak kongsi sebab baru semalam perkara ni jadi, kebetulan hari lahir Papa,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Ayda turut berharap agar orang ramai lebih berhati-hati ketika bergurau, terutama apabila melibatkan individu yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Katanya, meskipun niat hanya untuk berjenaka, kata-kata yang dilontarkan mungkin meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang sedang berusaha memulihkan semangat insan tersayang.
Sumber : Threads