Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Rupanya Asteroid 10 Kilometer Jadi Punca Kepupusan Dinosaur Zaman Purba

 rupanya asteroid 10 kilometer jadi punca kepupusan dinosaur zaman purbaFoto sekadar hiasan

Kepupusan dinosaur kira-kira 66 juta tahun lalu bukan sekadar akibat hentaman sebuah asteroid biasa, sebaliknya berpunca daripada rantaian bencana global yang dahsyat sehingga melenyapkan lebih 75 peratus spesies hidupan di Bumi.

Advertisement

Menerusi satu ciapan di Threads, penulis dan ahli fizik, Zamir Mohyedin, menjelaskan bagaimana sebuah asteroid gergasi yang menghentam satu kawasan mampu memberi kesan kepada seluruh planet.

“Dinosaur pupus 66 juta tahun lalu. Keturunan dinosaur yang masih hidup sekarang hanyalah kumpulan burung. Persoalannya, macam mana seketul asteroid yang hentam setempat boleh lenyapkan lebih 75 peratus spesies di seluruh dunia?” tulisnya.

Menurut Zamir, asteroid tersebut dianggarkan mempunyai diameter sekitar 10 kilometer, bersaiz lebih besar daripada Gunung Everest, malah ketinggiannya dari permukaan Bumi mampu mencecah ruang udara pesawat komersial.

Ketika memasuki atmosfera Bumi, asteroid itu bergerak dengan kelajuan sekitar 30,000 meter sesaat, iaitu kira-kira 87 kali lebih laju daripada kelajuan bunyi, sebelum menghentam laut cetek di perairan Semenanjung Yucatan.

“Hentaman ini melepaskan tenaga setanding 900 bilion bom Hiroshima dan 100 juta bom nuklear Tsar Bomba. Ia hentam satu tempat sahaja, tetapi memberikan kesan pada seluruh dunia,” jelasnya.

Impak tersebut membentuk kawah seluas 180 kilometer dengan kedalaman hampir 30 kilometer, selain mencetuskan gempa bumi bermagnitud 12, satu skala yang tidak pernah dialami manusia

Sebagai perbandingan, Zamir menyatakan gempa bumi terkuat pernah direkodkan manusia ialah magnitud 9.6 di Chile, yang kesannya turut dirasai di beberapa negara Asia dan Australia.

rupanya asteroid 10 kilometer jadi punca kepupusan dinosaur zaman purbaFoto: Britainica

“Gempa skala 12 di Yucatan telah menyebabkan terhasilnya gempa skala 9 di seluruh dunia. Satu gempa yang melahirkan banyak gempa,” katanya.

Hentaman tersebut turut mencetuskan tsunami global dengan ketinggian ombak mencecah 100 meter, bersamaan bangunan setinggi 34 tingkat, sekali gus menenggelamkan banyak kawasan daratan.

“Tsunami Aceh dulu setinggi 28 meter. Ini hampir empat kali ganda lebih tinggi,” tulis Zamir.

Selain itu, serpihan permukaan Bumi yang terpelanting ke angkasa akibat hentaman tersebut turut jatuh semula ke Bumi, menghentam pelbagai kawasan dan menyebabkan kebakaran besar-besaran.

“Ibarat Bumi dihujani meteor. Bumi yang tenang bertukar menjadi Bumi yang sedang terbakar,” katanya.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila letusan gunung berapi berlaku di seluruh dunia, menghasilkan debu dan asap tebal yang menutupi atmosfera Bumi, sekali gus menghalang cahaya Matahari.

Akibatnya, suhu global menurun, udara menjadi toksik, hujan asid membasahi Bumi dan lautan menjadi berasid, sekali gus menyumbang kepada kepupusan hidupan laut serta runtuhnya rantaian makanan.

Sebagai penutup, Zamir turut membuat perbandingan tempoh kelangsungan hidup dinosaur dan manusia.

“Dinosaur hidup selama 185 juta tahun, manusia pula baru sekitar 300,000 tahun. Jika perang nuklear tercetus hari ini, kesannya mungkin tak seteruk ini, tetapi cukup untuk membuatkan ramai sengsara,” katanya.

Sumber: Threads

SINAR Muzik Retro Terbaik