Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Aslam Anggap Perkongsian Marissa Di Media Sosial Tidak Bermotif Galau, Hanya Sekadar Luahan Biasa

aslam anggap perkongsian marissa di media sosial tidak bermotif galau, hanya sekadar luahan biasaFoto: Instagram

Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid menafikan dakwaan bahawa hantaran dimuat naik oleh isteri keduanya, Marissa Dania Hakim, mempunyai sebarang maksud tersirat atau menggambarkan perasaan galau sebagai seorang isteri dalam kehidupan berpoligami.

Advertisement

Aslam, 25, menjelaskan bahawa perkongsian yang dibuat Marissa hanyalah bersifat peribadi dan umum, dan tidak wajar ditafsir sebagai bayangan kepada isu rumah tangga mereka. Katanya, penilaian netizen terhadap setiap kandungan yang dimuat naik di media sosial adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun beliau berharap orang ramai lebih bijak dalam menilai.

“Kita tidak boleh halang pandangan atau tafsiran netizen. Namun, pada akhirnya semua itu bergantung kepada diri kita sendiri, sama ada untuk percaya atau menilai sesuatu secara lebih matang,” katanya ketika ditemui media pada majlis yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan lagu latar berjudul Pendampingmu nyanyian Shabrina Leanor dalam salah satu perkongsian Marissa di Instagram, Aslam menegaskan bahawa pemilihan lagu dalam hantaran media sosial adalah subjektif dan tidak semestinya membawa maksud tertentu.

“Lagu pun ada pelbagai jenis, dan lirik juga berbeza-beza. Ada lagu yang kita sendiri pun tak faham sepenuhnya maksudnya. Mungkin seseorang memilih lagu itu hanya kerana melodinya sedap didengar atau liriknya dirasakan menarik,  bukan kerana mahu menyampaikan sesuatu mesej tersembunyi,” ujarnya.

 

@marissadaniahakim_

Jika kamu tidak diperjuangkan oleh seseorang yang kamu harapkan, kamu akan diperjuangkan oleh seseorang yang mengharapkanmu

♬ suara asli - selebrinaa - ꧁SHABRINA FAN࿐

 

Dalam masa yang sama, Aslam turut menjelaskan bahawa beliau sering memberi nasihat kepada kedua-dua isterinya, Marissa Dania dan isteri pertama, Umisya Mazlan agar lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan yang mungkin mencetuskan kekeliruan atau salah tafsir dalam kalangan warganet.

“Saya memang selalu memberi teguran secara baik, lebih-lebih lagi jika hantaran itu menjadi buah mulut ramai, walaupun sebenarnya tiada maksud tertentu di sebaliknya.

“Tapi saya tidak sampai menyekat atau menetapkan apa yang boleh dan tidak boleh mereka kongsi. Saya percaya adalah lebih baik jika saya serahkan kepada mereka untuk membuat pertimbangan sendiri,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa hantaran Marissa di media sosial mencetuskan spekulasi kerana disifatkan memberi bayangan tentang tekanan emosi sebagai isteri kedua. Sebagai anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim, Marissa sering menjadi tumpuan umum, lebih-lebih lagi selepas perkahwinannya dengan Aslam dilangsungkan secara rahsia di Thailand ketika isteri pertama sedang menunaikan umrah.

Berita mengenai pernikahan itu pernah mengejutkan ramai dan mengundang pelbagai reaksi, memandangkan ia berlaku tanpa pengetahuan Umisya. Namun begitu, kedua-dua isteri kini dilihat lebih tenang dan dilaporkan mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan berpoligami.

Walaupun begitu, kehidupan rumah tangga mereka masih terus menjadi perhatian dan perbualan dalam kalangan netizen, terutama apabila timbul sebarang perkembangan yang dikaitkan dengan perasaan atau keadaan hubungan antara ketiga-tiga pihak.

Sumber: Kosmo

SINAR Muzik Retro Terbaik