Foto: Instagram
Penyanyi yang juga seorang bekas pramugari, Arrora Salwa tampil mengecam keras tindakan seorang individu yang tular baru-baru ini kerana berbangga mengaku dirinya kaki buli dalam kalangan anak kapal hanya kerana bergelar ‘senior’. Bagi Arrora, tindakan seperti itu bukan sahaja tidak profesional, malah memalukan.
Advertisement
Dalam hantaran yang dikongsikan semula oleh warganet, individu terbabit dilihat bercakap tentang bagaimana dia dan beberapa rakan sekerja pernah membaling dulang serta memarahi kru baharu sebagai sebahagian daripada ‘tradisi’ kerja.
Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang Arrora yang menyifatkan budaya tersebut langsung tidak boleh diterima.
Menurut Arrora, jika seseorang pernah melalui pengalaman buruk ketika menjadi junior, itu sepatutnya menjadikan mereka lebih berempat, bukan mengulangi perangai yang sama.
“Kalau awak dulu kena baling dulang, kenapa nak sambung budaya tu? Benda macam ni bukan satu kebanggaan pun. Jijik,” luahnya.
Penyanyi lagu Ahmad itu turut mempersoalkan tindakan mereka yang berani hanya ketika berada dalam uniform, tetapi hilang taring apabila berada di luar waktu kerja.
“Waktu kerja rasa diri macam raja. Tapi bila buka uniform, terus jadi tikus,” sinisnya, sambil menekankan bahawa kuasa sementara tidak memberi lesen untuk memperlakukan orang lain sesuka hati.
Arrora juga memetik contoh bagaimana ada senior yang tanpa segan silu mengadu kononnya ‘penat melayan junior manja’, namun dalam masa sama bangga menceritakan insiden membuli seolah-olah itu satu pencapaian. Katanya, gaya seperti itu menunjukkan sikap tidak matang dan gagal menjadi teladan yang baik dalam industri beruniform.
Hantaran Arrora segera mendapat perhatian ramai, terutama golongan yang pernah bekerja dalam sektor penerbangan. Rata-rata netizen bersetuju budaya buli dalam kalangan anak kapal bukanlah perkara baharu, malah ada yang mengakui pernah melalui pengalaman sama.
Ramai menyokong tindakan Arrora kerana berani bersuara tentang isu yang jarang disentuh secara terbuka.
Perdebatan mengenai budaya ‘senior versus junior’ dalam industri penerbangan terus hangat dibincangkan, dengan kebanyakan warganet berpendapat sudah tiba masanya perkara itu dihentikan.
Mereka menegaskan suasana kerja yang selamat, profesional dan saling menghormati harus menjadi keutamaan, bukan ego, bukan tradisi toksik, dan bukan budaya membuli yang diwarisi turun-temurun.
Dengan teguran lantang Arrora, isu buli dalam sektor beruniform sekali lagi menjadi perhatian umum, membuka ruang penting untuk perubahan lebih sihat dalam dunia pekerjaan hari ini.
Sumber: Threads @aurorasalwareal