
Foto Hiasan
Advertisement
Pernah tak anda buka satu website, tiba-tiba keluar kotak besar tulis ‘Accept Cookies’? Lalu tanpa berfikir panjang anda terus klik dengan harapan ‘popup’ tersebut terus hilang? Jujur sahaja ramai antara kita buat benda sama. Tetapi, apa sebenarnya yang kita telah persetujui?
Jangan risau, jom kita bongkar satu-satu dengan bahasa paling mudah faham!
Pertama sekali, cookies ni bukan biskut sebenar walaupun namanya sebegitu.
Dalam dunia internet, cookie ialah fail kecil atau satu data kecil yang website simpan dalam browser anda. Ia boleh mengandungi pelbagai maklumat seperti:
- ID pengguna khas untuk browser anda
- Lokasi anggaran (latitud/longitud)
- Bahasa pilihan
- Item dalam troli beli-belah
- Sejarah carian atau klik
Ringkasnya, ia macam nota kecil tentang anda yang disimpan oleh laman web.
Bila anda tekan ‘Accept Cookies’, anda sebenarnya memberi kebenaran kepada website untuk:
- Simpan maklumat tertentu dalam browser anda
- Jejak aktiviti anda di laman tersebut
- Gunakan data itu untuk tujuan tertentu
Dan di sinilah ceritanya jadi menarik…
Secara umum, cookies terbahagi kepada dua jenis utama:

Functional Cookies (Yang Baik-Baik)
Ini cookies yang membantu kita melayari website supaya ia berfungsi dengan lancar.
Contohnya:
- Ingat anda dah log masuk
- Simpan barang dalam troli
- Simpan bahasa pilihan
Tanpa cookies ini, setiap kali refresh page, anda mungkin kena log masuk semula. Leceh kan?
Tracking / Advertising Cookies (Yang Ramai Tak Sedar)
Yang ini pula digunakan untuk:
- Jejak apa yang anda klik
- Rekod minat anda
- Kumpul data tingkah laku
Data ini kadang-kadang dikongsi atau dijual kepada syarikat pengiklanan besar untuk sasarkan iklan kepada anda.
Sebab itu kalau anda cari kasut semalam, hari ini apabila kita buka media sosial, tiba-tiba kasut tersebut muncul dalam iklan.
Itu bukan sihir. Itu cookies bekerja.
Persoalannya, bolehkah mereka tahu lokasi di mana kita berada? Dalam sesetengah kes, ya dan bergantung kepada apa yang anda benarkan. Contohnya, lokasi anggaran berdasarkan IP address dan koordinat jika anda beri kebenaran lokasi.
Semua maklumat ini boleh disumbat dalam cookie sebagai data kecil untuk rujukan laman web tersebut. Jadi, perlukah kita merasa risau? Jangan risau dan jangan panik, kita cuma perlu menjadi lebih peka.
Tip mudah:
- Klik ‘Manage Settings’ jika ada
- Tolak cookies yang tak perlu (terutamanya untuk iklan)
- Guna browser dengan ciri sekat tracking
- Clear cookies sekali-sekala
Anda sebenarnya ada pilihan, cuma ramai yang tak ambil masa untuk baca.
Bila anda klik ‘Accept Cookies’, anda sedang beri kebenaran untuk website simpan dan gunakan data tertentu tentang anda. Ada yang memang perlu untuk fungsi laman web. Ada juga yang digunakan untuk tujuan pemasaran dan pengiklanan.
Pilihan di tangan anda.