
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia sama sekali tidak akan berdiam diri berhubung tindakan biadab rejim Zionis Israel yang memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan para aktivis dan sukarelawan kemanusiaan, termasuk rakyat Malaysia.
Advertisement
Menurut beliau, kerajaan mendesak pembebasan segera semua aktivis antarabangsa yang terbabit kerana flotila tersebut membawa misi bantuan untuk rakyat Gaza yang sedang berdepan krisis kemanusiaan terburuk.
“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan penting untuk rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” kata Anwar dalam hantaran di media sosial pada Khamis.
Anwar turut menegaskan bahawa tindakan Israel menyekat konvoi itu bukan sahaja melanggar hak asasi rakyat Palestin, malah memperlekeh nurani masyarakat dunia. Katanya, flotila tersebut bukan sekadar sebuah misi bantuan, tetapi simbol perpaduan dan kasih sayang umat manusia terhadap rakyat Gaza yang terus ditekan dengan sekatan zalim.
“Flotila itu membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan rakyat Gaza yang dipaksa hidup melarat. Menyekat bantuan adalah satu kezaliman yang tidak boleh diterima,” ujarnya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan menggunakan segala saluran sah berasaskan undang-undang antarabangsa untuk menuntut pertanggungjawaban Israel, terutama apabila keselamatan rakyat Malaysia menjadi taruhan.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan. Kita tidak akan bungkam tatkala hak serta maruah mereka dicabuli,” tegas beliau.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten untuk terus berdiri teguh memperjuangkan hak rakyat Palestin, serta mendesak agar kekejaman rejim Zionis segera dihentikan.
Pendirian lantang ini sekali lagi mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak pernah berganjak dalam menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Malaysia melihat misi flotila bukan sahaja sebagai usaha membawa bantuan, tetapi juga satu isyarat bahawa suara keadilan dan kemanusiaan tidak akan pernah dapat dipatahkan oleh kezaliman.
Sumber: Astro Awani