Angkara marah dan tak berpuas hati telah menyebabkan seorang peniaga wanita maut dengan 15 kesan tikaman di bahagian badan di tepi jalan besar Kuala Berang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, hari ini.

Pengawal keselamatan menemui mayat berusia 65 tahun di dalam longkang di kawasan berkenaan pada jam 4.35 pagi.
Advertisement
Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar suspek wanita yang juga rakan kongsinya berusia 35 tahun.
Mangsa dan suspek sebelum itu menaiki kereta dan berlaku pertengkaran antara mereka di dalam kenderaan itu.
Mangsa dikatakan keluar dari kenderaan berkenaan sebelum suspek yang juga seorang tukang jahit bertindak melanggar mangsa.
"Suspek kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak menikam mangsa sebelum meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van.
"Suspek berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi," katanya.
Malah, sebilah pisau pemotong daging juga digunakan sebagai senjata di dalam kejadian ini.
Siasatan awal kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung agihan keuntungan perniagaan pakaian dan tudung yang diusahakan mereka sejak lima tahun lalu.
Pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya.
Sumber: Harian Metro