Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Angelina Jolie Suarakan Lagi Sokongan Terhadap Gaza, Kecam Kekejaman Berterusan


angelina jolie suarakan lagi sokongan terhadap gaza, kecam kekejaman berterusan
Foto: The Guardian


Pelakon dan aktivis kemanusiaan terkenal, Angelina Jolie, sekali lagi menyatakan pendirian tegasnya menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Advertisement

Dalam hantaran terbarunya di media sosial, Jolie berkongsi laporan menyayat hati daripada pertubuhan Doctors Without Borders (Médecins Sans Frontières, MSF), sambil menggambarkan Gaza kini sebagai ‘kubur besar buat rakyat Palestin dan mereka yang cuba membantu’.

Bintang Hollywood itu turut menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap tindakan tentera Israel yang menurutnya bukan sekadar melibatkan serangan fizikal ke atas penduduk, malah menghalang akses bantuan kemanusiaan dan menyerang petugas kesihatan serta sukarelawan.

“Apa yang sedang berlaku di Gaza bukan sahaja menamatkan nyawa penduduk awam, malah membahayakan semua individu yang cuba menyelamatkan mereka,” tulis Jolie dalam hantaran tersebut.

Beliau menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang telah berbulan-bulan hidup dalam ketakutan, kebuluran dan penderitaan sejak serangan bermula pada Oktober 2023.

Dalam pada itu, Jolie turut menggesa supaya kepungan kejam terhadap Gaza ditamatkan serta-merta, sambil menuntut supaya laluan bantuan kemanusiaan dibuka dan dilindungi sepenuhnya.

Jolie yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Muhibah dan kini Duta Khas kepada Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), sememangnya dikenali sebagai antara suara lantang dalam isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Beliau secara konsisten menggunakan platformnya untuk menyorot penderitaan masyarakat di zon konflik, termasuk di Palestin, Syria, dan Myanmar.

Dalam kenyataan terdahulu, Jolie turut menyifatkan kekejaman yang berlaku di Gaza bukan sekadar bencana kemanusiaan, tetapi satu kegagalan sistem antarabangsa dalam melindungi hak asasi manusia.

Kali ini, nada beliau lebih keras membayangkan bahawa dunia sedang menyaksikan, tetapi masih gagal bertindak sewajarnya.

Statistik menunjukkan lebih 51,000 rakyat Palestin telah terkorban di Gaza, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Angka ini terus meningkat akibat pengeboman berterusan, kekurangan makanan, air bersih dan rawatan kesihatan. Keadaan ini menimbulkan tekanan besar terhadap masyarakat antarabangsa untuk mendesak gencatan senjata segera.

Angelina Jolie mengakhiri kenyataannya dengan seruan agar dunia tidak lagi berdiam diri.

“Ini bukan hanya tentang konflik. Ini tentang nilai kemanusiaan. Kita tidak boleh terus membiarkan Gaza hancur dalam senyap,” ujarnya lagi.

Dengan tekanan yang semakin meningkat daripada masyarakat awam global, kenyataan Jolie menambahkan lagi desakan agar komuniti antarabangsa segera bertindak bagi menghentikan penderitaan yang sedang melanda Gaza hari ini.

SINAR Muzik Retro Terbaik