Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Anak Malaysia Cipta Irama Dunia, Vincent Ong Raih Tempat Kelima di Pentas Piano Antarabangsa Chopin

anak malaysia cipta irama dunia, vincent ong raih tempat kelima di pentas piano antarabangsa chopin

Pemuzik muda berbakat besar, Vincent Ong, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menempatkan diri di tempat kelima dalam Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin ke-19 yang berlangsung di Warsaw, Poland. Ia merupakan salah satu pentas paling berprestij dalam dunia muzik klasik.

Advertisement

Kejayaan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu pengiktirafan global terhadap bakat Malaysia dalam bidang seni yang sering didominasi oleh pemain antarabangsa berpengalaman.

Menurut keputusan rasmi yang diumumkan di laman web pertandingan itu, Vincent berkongsi kedudukan kelima dengan wakil tuan rumah, Piotr Alexewicz. Lebih membanggakan, pencapaian ini diraih selepas beliau berjaya menempatkan diri dalam kalangan 11 finalis terbaik dunia, antara ratusan peserta dari seluruh pelosok dunia yang menyertai pertandingan tersebut.

anak malaysia cipta irama dunia, vincent ong raih tempat kelima di pentas piano antarabangsa chopin

Pertandingan yang diadakan di Dewan Konsert Filharmonik Kebangsaan Warsaw itu menyaksikan para finalis mempersembahkan karya agung maestro Fryderyk Chopin, termasuk karya ikonik Polonaise-Fantaisie (Op. 61), dengan iringan Orkestra Filharmonik Kebangsaan Warsaw, satu penghormatan tertinggi bagi mana-mana pemain piano klasik.

Dalam senarai pemenang, Eric Lu dari Amerika Syarikat dinobatkan sebagai juara, diikuti Kevin Chen (Kanada) di tempat kedua dan Zitong Wang (China) di tempat ketiga. Dua peserta, Shiori Kuwahara (Jepun) dan Tianyao Lyu (China), berkongsi tempat keempat, sebelum Vincent Ong bersama Alexewicz di tempat kelima.

Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin ini bukan pertandingan biasa. Sejak dianjurkan pada tahun 1927, ia diadakan setiap lima tahun sekali dan dikenali sebagai salah satu platform paling berpengaruh dalam dunia muzik klasik, menjadi batu loncatan kepada kerjaya antarabangsa ramai pianis ternama dunia.

Untuk melangkah ke pentas akhir pertandingan ini sahaja sudah cukup untuk menobatkan seseorang sebagai antara pianis terbaik generasi mereka.

Kejayaan Vincent Ong membawa nama Malaysia ke peta dunia muzik klasik. Di usia muda, beliau bukan sahaja mengharumkan nama negara, tetapi juga membuktikan bahawa bakat dan disiplin tinggi mampu menembusi sempadan bahasa dan budaya.

Sumber: Bernama

SINAR Muzik Retro Terbaik