Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Mungkin Dia Tahu Saya Tak Kuat..” - Amyza Aznan Ralat Tidak Sempat Berada di Sisi Arwah Anak Ketika Detik Terakhir

“mungkin dia tahu saya tak kuat..” - amyza aznan ralat tidak sempat berada di sisi arwah anak ketika detik terakhirFoto: Astro Gempak

Ramadan kali ini meninggalkan luka paling dalam buat pelakon Amyza Aznan apabila dia terpaksa menerima kenyataan kehilangan anak sulung di saat seorang lagi anak sedang berdepan penyakit serius.

Advertisement

Menurut Amyza, ujian yang datang berturut-turut membuatkan dirinya terasa amat rapuh. Jika tahun lalu dia hanya menumpukan perhatian terhadap rawatan Andre Mikhail yang disahkan menghidap kanser paru-paru, tahun ini keadaan menjadi lebih berat apabila anak keduanya pula diuji dengan kanser tulang.

“Tahun lepas saya diuji dengan sakitnya Andre. Tahun ini Adrian pula disahkan dengan penyakit lain, dan dalam masa yang sama saya kehilangan Andre.

“Sebagai ibu, saya tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan ini. Terlalu berat, terlalu sakit,” katanya dengan nada sebak.

Pelakon itu turut berkongsi rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi arwah ketika detik akhir. Ketika keadaan Andre merosot, dia berada di rumah seketika untuk membersihkan diri sebelum menerima panggilan yang mengubah segalanya.

“Saya balik sebentar untuk mandi. Tak lama lepas itu, saya dapat panggilan beritahu bacaan oksigen dia jatuh.

“Sudah tentu saya nak ada di sebelahnya waktu itu, tapi saya tak sempat. Itu yang paling saya ralat,” luahnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Walaupun dilanda kesedihan, Amyza bersyukur kerana segala urusan pengebumian anaknya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Saya anggap itu tanda kasih Allah pada Andre. Ramai yang mendoakan dan membantu,” katanya.

Tambahnya lagi, hubungan antara dia dan arwah sangat rapat sehingga mereka jarang berpisah lama.

“Kami hampir sentiasa bersama. Saya memang bergantung kuat pada dia.

“Mungkin dia tak mahu saya lihat saat itu sebab dia tahu saya takkan kuat,” ujarnya cuba menahan tangis.

Andre sebelum ini dilaporkan meninggal dunia pada jam 10.15 malam di Hospital Kuala Lumpur selepas kira-kira setahun menjalani rawatan kanser paru-paru tahap tiga. Jenazahnya dikebumikan pada jam 10.45 pagi selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.

Februari tahun lalu, Amyza pernah mendedahkan keadaan kesihatan anak sulungnya yang ketika itu mengejutkan ramai dan mengundang doa daripada masyarakat.

Sumber: Gempak

SINAR Muzik Retro Terbaik