
Foto: Instagram ( amyzaaznankaia)
Advertisement
Dunia hiburan tanah air digemparkan dengan perkongsian penuh emosi daripada pelakon veteran, Amyza Aznan, yang memohon doa seluruh rakyat Malaysia buat anak tersayang, Andre Mikhail, yang kini sedang bertarung nyawa di hospital.
Menerusi hantaran di Instagram Story pada Ahad, Amyza meluahkan rasa hati seorang ibu yang sedang diuji hebat apabila memohon bukan sahaja doa, malah sebarang ikhtiar termasuk perubatan alternatif demi menyelamatkan anaknya.
“Assalamualaikum kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya ibu kepada Andre Mikhail, sekarang berada di hospital. Tolong doakan anak saya. Kepada sesiapa yang pandai, tolong ikhtiarkan dengan mungkin apa saja perubatan, tolong,” tulisnya.
Lebih memilukan, Amyza turut mendedahkan bahawa pihak doktor telah menasihatkan keluarga supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Doktor suruh keluarga bersedia. Ya Allah, tolonglah kepada sesiapa yang bijak pandai hebat dalam bidang selain hospital. Tolong saya malam ni,” rayunya lagi.
Pada pagi Isnin pula, satu lagi perkongsian Amyza meraih perhatian warganet apabila dia seakan meluahkan kekecewaan selepas mendakwa menerima harapan palsu selama setahun.
Malah, pelakon itu turut menyatakan hasrat untuk membawa anaknya keluar dari hospital dan hanya berserah kepada keajaiban.

Foto: Instagram (amyzaadnankaia)
“Terima kasih untuk harapan palsu selama 1 tahun. Anak saya Andre Mikhail akan saya keluarkan dari hospital pada hari ini, hanya mengharap keajaiban.”
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dan simpati ramai, dengan ruangan komen dipenuhi doa serta kata-kata semangat buat keluarga ini.
Kisah duka ini menjadi lebih menyayat hati apabila sebelum ini Amyza turut berkongsi bahawa seorang lagi anaknya, Adrian, disahkan menghidap kanser tulang pada Khamis lalu.
Berita tersebut hadir ketika Andre Mikhail sendiri sudah hampir setahun berjuang melawan kanser paru-paru, satu ujian berganda yang sukar dibayangkan buat mana-mana ibu.
Kini, seluruh peminat dan rakan selebriti terus menitipkan doa agar keajaiban berlaku dan keluarga Amyza diberi kekuatan menghadapi saat getir ini.
Sumber: Instagram (amyzaadnankaia)