Foto: Instagram
Pelakon terkenal, Abby Abadi, kembali mencuri perhatian warganet selepas memuat naik perkongsian berkaitan kehidupan rumah tangga anak perempuannya, Marissa Dania Hakim, bersama suami, Ahmad Aslam. Isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila Abby berkongsi komen netizen yang memberi pandangan berhubung kehidupan poligami yang sedang dilalui anaknya itu.
Advertisement
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, mengakui beliau memilih untuk tidak mengulas panjang, sebaliknya lebih banyak menyimpan isi hati sendiri.
“Rasanya banyak yang mahu saya kongsikan, tetapi biarlah komen-komen netizen ini mewakili segalanya,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik ke media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, Abby menayangkan tangkap layar komen warganet yang menasihatkan Marissa supaya meninggalkan kehidupan sebagai madu dan membuka lembaran baharu. Mereka berpendapat, pada usia 20 tahun dan dengan rupa paras menawan, Marissa sepatutnya berhak menikmati kehidupan lebih baik daripada hanya bergelar isteri kedua.
Menariknya, Abby dilihat menyokong beberapa komen yang menasihatkan Marissa agar mengundurkan diri dan mencari pasangan lain, bahkan jika tidak bergelar VVIP sekalipun, yang penting bukan suami orang.
“Buang masa dan merugikan diri sendiri,” balas Abby ringkas terhadap komen seorang pengguna media sosial.
Sebelum ini, Abby beberapa kali lantang bersuara di media sosial mengenai isu membabitkan keluarga, termasuk menegur tindakan menantunya, Aslam, yang didakwa tidak menghormatinya sebagai ibu mentua. Pada April lalu, beliau turut menyangkal kenyataan Aslam yang mendakwa telah membuat permohonan maaf kepadanya secara peribadi.
Rentetan itu, hubungan antara Abby dan Marissa dilaporkan tegang hampir dua minggu, sebelum Marissa tampil bertemu ibunya untuk menjernihkan keadaan.
Untuk rekod, Marissa mengejutkan ramai pihak apabila sah bergelar isteri kedua kepada Mohd Aslam selepas pernikahan mereka berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023. Pada ketika itu, Aslam sudahpun beristeri, iaitu Umisya, serta mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.
Sumber: HibGlam