Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“91 Peratus Kes Rogol Bawah Umur Di Kedah Libat Hubungan Suka Sama Suka…” – Polis

“91 peratus kes rogol bawah umur di kedah libat hubungan suka sama suka…” – polisFoto: Sinar Harian

Polis Kedah mendedahkan bahawa 91 peratus daripada kes rogol bawah umur yang direkodkan di negeri itu melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja.

Advertisement

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, menyifatkan situasi itu sebagai membimbangkan dan menuntut perhatian serius semua pihak kerana ia mencerminkan masalah sosial yang semakin meruncing dalam kalangan remaja.

Sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 100 kes rogol bawah umur dilaporkan, dan 91 daripadanya berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak.

“Apabila kita sebut ‘suka sama suka’, ia bukan bermaksud tiada kesalahan. Ini tanda ada masalah sosial yang perlu ditangani secara menyeluruh. Polis, pendidik dan agensi lain kini bekerjasama mencari pendekatan terbaik bagi mengekang gejala ini,” katanya ketika ditemui media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat.

Menurut Adzli, kebanyakan kes melibatkan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun yang menjalin hubungan tanpa pengawasan ibu bapa, termasuk keluar rumah pada waktu malam.

“Kalau anak berumur 13 atau 15 tahun masih keluar malam, ibu bapa perlu ambil tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa. Kita perlu kembali kepada nilai masyarakat lama yang saling menegur dan menjaga, bukan membiarkan anak bebas tanpa kawalan,” tegasnya.

Beliau menambah, peranan ibu bapa amat penting sebagai benteng pertama pencegahan, selain kerjasama pihak sekolah dan polis.

“Mesti ada keseimbangan. Ia bukan tanggungjawab sekolah atau polis semata-mata. Ibu bapa perlu pantau pergerakan anak dan penggunaan internet mereka. Di Kedah, kes seperti ini semakin meningkat,” katanya lagi.

Bagi memperkukuh pemantauan, polis kini menempatkan pegawai perhubungan di sekolah tertentu bagi mewujudkan hubungan lebih rapat dengan pelajar.

Selain itu, Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) turut digerakkan ke 30 kawasan panas berhampiran sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar.

“Saya sudah arahkan setiap balai berhampiran kawasan panas menugaskan anggota memantau waktu masuk dan keluar sekolah. Kehadiran polis bukan saja beri rasa selamat kepada pelajar, tapi juga berfungsi sebagai langkah pencegahan,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

SINAR Muzik Retro Terbaik