Foto: Facebook
Pernah tak tiba-tiba teringat era kegemilangan sitcom Malaysia? Zaman lawaknya menjadi, lagu pembukaan melekat dalam kepala dan watak-wataknya kekal ikonik walaupun sudah berpuluh tahun berlalu. Sempena World TV Day, ini senarai tujuh sitcom yang terus hidup dalam ingatan ramai.
Advertisement
Foto: Goodreads
Pi Mai Pi Mai Tang Tu (1985)
Kisah kehidupan penduduk Flat Seri Wangi ciptaan Hatta Azad Khan ini dibintangi Zami Ismail, Wan Maimunah, Khatijah Tan dan Sabri Yunus. Dari 1985 hingga 2004, ia kekal sebagai antara sitcom paling panjang di Malaysia dengan lebih seribu episod, malah pernah dipentaskan dalam versi muzikal. Nama siri ini membawa makna balik-balik perkara sama tetapi tidak siap juga.
Foto: Facebook
2+1 (1989)
Arahan Othman Hafsham, siri ini dibarisi Imuda, Ahmad Busu, Louisa Chong dan Susan Lankester. Ia mengisahkan Sam, seorang lelaki yang sensitif, dan siri ini sebenarnya berkongsi dunia dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Hubungan kedua-dua siri ini terdedah apabila episod crossover menyaksikan penduduk Flat Seri Wangi menyangka Sam adalah Budin, dua watak yang dilakonkan pelakon sama.

Foto: Facebook
Jangan Ketawa (1991)
Siri sketsa komedi ciptaan mendiang Linda Chong ini menampilkan adegan pendek berasaskan situasi harian rakyat Malaysia. Menggunakan pelbagai bahasa dan pelakon berbilang kaum, siri ini menjadi cermin masyarakat sebenar. Antara sketsa paling kult ialah Pil Puasa tentang kononnya wujud pil ajaib yang boleh menghilangkan lapar ketika berpuasa. Sketsa itu sangat popular setiap kali Ramadan.
Foto: Remaja
Cili Padi (1993)
Siri ini unik kerana keseluruhan penyiasatnya adalah kanak-kanak, seakan siri Enid Blyton. Jaafar Onn menjadi guru yang perlu menahan kerenah Maria, Salim, Lili dan Syafiq. Dengan elemen penyiasatan ringan, nilai keberanian dan montaj rap yang catchy, Cili Padi menjadi kegemaran ramai generasi 90an.
Foto: Facebook
Senario (1996)
Bermula sebagai kumpulan komedi, Senario berubah menjadi rancangan televisyen yang dibarisi Azlee Jaafar, Abdul Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya. Setiap episod berbeza mengikut tema, memanfaatkan bakat spontan pelakon untuk menghasilkan komedi yang tidak pernah gagal menghiburkan. Jenama Senario kemudian berkembang ke layar perak dengan beberapa filem box-office.
Foto: Kopitiam
Kopitiam (1998)
Sering dianggap Friends versi Malaysia, Kopitiam mengisahkan sekumpulan rakan yang sering berkumpul di kedai kopi dan berkongsi kisah hidup penuh humor. Ditunjangi Joanna Bessey, Lina Teoh, Douglas Lim, Rashid Salleh, Tan Jin Chor dan Mano Maniam, siri ini memenangi beberapa anugerah televisyen Asia dan bertahan tujuh musim sebelum muncul dalam versi baharu berjudul Kopitiam Double Shot pada 2019.

Foto: Facebook
Spanar Jaya (1999)
Siri ini menampilkan Pak Selamat, pemilik bengkel, yang bergelut dengan pelbagai isu seperti perniagaan, keluarga dan sahabat. Dengan pelakon seperti Rambo Chin, Ahmad Idham, Zaibo, Wardina Safiyyah dan Deanna Yusoff, Spanar Jaya menjadi tontonan wajib hujung minggu. Ia kembali semula pada 2019 dengan Spin-off Spanar Jaya X sempena ulang tahun ke dua puluh siri itu.
Sumber: Instagram