Foto: TikTok
Pernahkah anda terfikir mengapa anda sering menangguhkan tugas seperti membasuh pinggan, melipat baju, atau membersihkan kereta?
Advertisement
Menurut Pakar Kesihatan Mental dan Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli, terdapat tiga punca utama yang menyebabkan seseorang menjadi malas khususnya meliputi psikologi, fisiologi, dan neurologi.
1. Psikologi: Keletihan Emosi dan 'Burnout'
Amirul menjelaskan bahawa rasa malas boleh berpunca daripada keletihan emosi atau 'burnout' akibat tekanan berpanjangan tanpa ganjaran atau rasa pencapaian. Keadaan ini boleh menurunkan motivasi dan mendorong kepada ketidakupayaan untuk bertindak.
Beliau mencadangkan untuk mencipta kemenangan kecil setiap hari, seperti menyusun rutin harian atau membuat senarai tugasan ringkas seperti mengemas katil atau menyiapkan tugasan kecil untuk mendapatkan semula rasa pencapaian.
2. Fisiologi: Kekurangan Tenaga Fizikal
Kemalasan juga boleh berpunca daripada fisiologi tubuh, terutamanya apabila sel badan (mitokondria) tidak menghasilkan tenaga dengan efisien. Kekurangan senaman, pemakanan tidak seimbang, dan tidur yang tidak berkualiti boleh melemahkan sistem tenaga badan.
Amirul menyarankan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman ringan atau berjalan-jalan, kerana aktiviti fizikal dapat meningkatkan penghasilan tenaga dalam sel dan membantu melawan keletihan fizikal.
3. Neurologi: Ketidakseimbangan Dopamin
Dari aspek neurologi, kemalasan dikaitkan dengan paras dopamin yang rendah. Dopamin adalah neurotransmitter yang berkait rapat dengan motivasi. Apabila dopamin rendah, dorongan untuk melakukan sesuatu perkara menjadi rendah.
Amirul menasihatkan untuk sentiasa memaksa diri untuk bergerak, seperti berjalan di dalam rumah atau sekeliling rumah, kerana pergerakan dapat meningkatkan penghasilan dopamin dan seterusnya meningkatkan motivasi.
Kesimpulannya, memahami punca sebenar kemalasan boleh membantu seseorang mengurus rasa malas dengan lebih efektif. Dengan mengenal pasti sama ada punca kemalasan itu bersifat psikologi, fisiologi, atau neurologi, langkah-langkah yang sesuai dapat diambil untuk mengatasinya.
Sumber: TikTok @amirul.ramli