Foto sekadar hiasan
Situasi tidak menentu di Timur Tengah menyebabkan kira-kira 1,600 jemaah umrah dari Malaysia masih berada di Arab Saudi selepas penerbangan pulang mereka terjejas akibat pembatalan dan penjadualan semula beberapa syarikat penerbangan.
Advertisement
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan sebahagian besar jemaah yang terlibat dan mengesahkan mereka kini berada di Jeddah, Makkah serta Madinah dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah mereka dalam keadaan baik dan situasi di Arab Saudi terutamanya di Makkah, Madinah dan Jeddah juga sangat baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Malaysia Petang Ini di Bernama TV.
Beliau menjelaskan kebanyakan jemaah yang terkandas sepatutnya pulang menggunakan Malaysia Airlines dan beberapa syarikat lain termasuk Qatar Airways, Emirates serta Etihad Airways.
Bagaimanapun, masih terdapat pilihan penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Lumpur menerusi Saudia, manakala AirAsia pula beroperasi dengan jadual terhad.
“Ramai jemaah mengambil inisiatif sendiri atau diuruskan oleh ejen pelancongan untuk menukar penerbangan kepada Saudia Airlines, dan beberapa kumpulan telah berjaya pulang ke Malaysia.
“Malaysia Airlines juga telah bermurah hati menyediakan penginapan kepada jemaah yang sepatutnya pulang menggunakan syarikat itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah mengaktifkan bilik operasi 24 jam bagi memantau perkembangan semasa dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.
Turut menerima bantuan ialah 19 pelajar Malaysia yang terkandas susulan penutupan ruang udara Jordan. Mereka ditempatkan sementara di konsulat dan apartmen perkhidmatan sebelum dihantar pulang menggunakan bas khas yang disediakan.
“Pelajar-pelajar ini telah diberikan penempatan sementara di konsulat dan juga di servis apartmen yang kita usahakan. Alhamdulillah pagi ini mereka telah bertolak pulang dengan bas yang kita sewa khas,” katanya.
Beliau menambah pihak konsulat sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan sedang menilai keperluan termasuk kemungkinan mengatur penerbangan khas sekiranya keadaan berlarutan.
“Buat masa ini kita masih membuat penilaian berdasarkan situasi semasa. Syarikat-syarikat penerbangan juga sedia maklum tanggungjawab mereka dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menyambung semula operasi,” jelasnya.
Krisis serantau yang berlaku ketika ini menyaksikan beberapa negara menutup atau mengehadkan ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga, sekali gus menjejaskan laluan penerbangan komersial antarabangsa termasuk ke dan dari Arab Saudi.
Sumber: Bernama