
Sebanyak 130 buah motosikal pelbagai model musnah dalam satu kejadian kebakaran di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught, semalam.
Advertisement
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Hisam Mamat berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kebakaran pada jam 12.33 tengah hari.
Panggilan tersebut diterima melalui sistem MERS999 sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar jentera ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mendapati ia melibatkan kebakaran deretan motosikal lama yang berada di dalam depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik pihak DBKL," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan anggaran kemusnahan adalah 100 peratus manakala punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik.
Sumber: Sinar Harian