Pelakon, Zila Bakarin kini sedang dirawat selepas menjalani pembedahan akibat cakera tulang belakang teranjak atau tergelincir (slipped disc).

Berusia 48 tahun, dia kini sedang berada di sebuah hospital swasta di Ampang Puteri mengadu sakitnya bermula dengan rasa sakit di kaki kiri pada dua bulan lalu, dan semakin teruk pada Selasa minggu lalu.
Advertisement
"Pada awalnya, sejak dua bulan lalu, saya rasa sakit di bahagian kaki kiri dan ada masalah bila berjalan. Jadi, saya tahan saja rasa sakit itu dan makan ubat tahan sakit.
"Waktu menjalani penggambaran pun, saya tahan sahaja sakit itu sehinggalah pada Selasa lalu, saya dah tak tahan sangat. Bukan setakat berjalan, bahkan, bila berbaring pun sakit sangat.
"Bila dimasukkan ke hospital, saya jalani imbasan MRI dan dapat tahu bahawa saya mengalami slip disc. Salah satu cakera sudah 'terkeluar' dan mengganggu saraf kaki," katanya.
Memetik laporan Harian Metro, Zila sepatutnya perlu menjalani pembedahan segera tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana tekanan darah rendah.
Namun, dia juga dikesan hidapi sakit lain yang dikenal pasti doktor saat menjalankan pemeriksaan.
"Dah dimasukkan ke hospital, doktor kesan dua lagi penyakit lain iaitu anemia dan juga fibroid. Tapi, tak mengapa sebab kedua-duanya boleh dirawat dengan pengambilan ubat.
"Kalau diikutkan, saya tak mahu muat naik apa-apa ke media sosial. Tapi, bila fikirkan semula, saya nak minta orang ramai untuk doakan kesejahteraan kesihatan saya," katanya.
Kini, Zila perlu berehat sementara waktu di hospital untuk dipantau keadaan kesihatannya sebelum kembali bekerja seperti biasa.
Sumber: Harian Metro