Kumpulan The Strokes mengumumkan mereka akan menambah tarikh konsert di Singapura pada 3 Ogos nanti bagi mengubat kekecewaan para peminat Malaysia.

Konsert yang bakal berlangsung di di MBS Expo Hall, Singapura itu pasti dinantikan para peminat selepas persembahan mereka tidak kesampaian di Festival Good Vibes (GVF), baru-baru ini.
Advertisement
Menerusi kenyataan rasminya, hanya persembahan di sana paling hampir boleh diusahakan dalam masa terdekat terutama buat peminat dari negara ini yang ingin menonton mereka.
"Dalam percubaan untuk menghimpunkan semua peminat di Asia Tenggara, khususnya peminat di Kuala Lumpur yang terkesan dengan pembatalan (GVF) minggu lalu, kami kini menambah persembahan kedua di Singapura di MBS Expo Hall pada Khamis, 3 Ogos.
"Kami tahu ini bukanlah yang paling sempurna untuk peminat kami di Malaysia. Tetapi ia adalah yang paling hampir dan lokasi paling menyenangkan bagi mengadakan persembahan dalam masa terdekat ini," katanya.
Tambahnya, kumpulan itu berharap penambahan tarikh baharu itu memberi kelegaan kepada peminat yang menantikan persembahan secara langsung.
"Kami harap ini akan redakan kekecewaan daripada insiden-insiden yang menimpa minggu lalu. Terima kasih atas kesabaran anda semua sementara kami usahakan segala macam penyelesaian.
"Kami tak sabar melihat kamu beramai-ramai muncul pada persembahan itu minggu depan," jelasnya.
Terdahulu, The Strokes yang dianggotai Julian Casablancas, Nick Valensi, Albert Hammond Jr., Nikolai Fraiture, dan Fabrizio Moretti sepatutnya menjadi artis penutup GVF pada 23 Julai lalu yang berlangsung di Sepang, Selangor tetapi festival itu terpaksa dibatalkan serta-merta.
Sumber: Harian Metro