Sebanyak RM12.3 juta dituntut oleh pihak penganjur Good Vibes Festival (GVF) 2023, Future Sound Asia (FSA) daripada kumpulan pop rock Britain, The 1975 akibat pembatalan acara tersebut.
Punca acara itu dibatalkan adalah berpunca daripada tindakan yang tidak bermoral oleh penyanyi utama kumpulan itu, Matty Healy.
Advertisement

Menurut peguam mewakili FSA, David Mathew dari Tetuan Steven Thiru & Sudhar, dia memaklumkan surat tuntutan sudah dikeluarkan kepada kumpulan tersebut.
"Dalam Surat Tuntutan bertarikh 7 Ogos 2023, FSA menuntut agar The 1975 mengakui tanggungjawab mereka dan membayar jumlah sebanyak £2,099,154.54 (RM12,347,967.91) dalam masa tujuh hari.
"Tuntutan FSA terhadap The 1975 adalah kerana pelanggaran kontrak. FSA berhak mengambil tindakan selepas kumpulan itu melanggar kontrak persembahan yang ditandatangani dengan FSA.
"Selanjutnya, wakil Healy sudah memberikan jaminan bertulis sebelum persembahan bahawa Healy dan The 1975 akan 'mematuhi semua panduan dan peraturan tempatan' semasa persembahan mereka di Malaysia. Bagaimanapun, jaminan ini diabaikan," katanya.
Tambahnya, mereka akan menunggu maklum balas daripada kumpulan itu atau wakil-wakil mereka berkenaan tuntutan itu.
Pihaknya tidak akan mengambil mudah dan akan bertindak dengan prosiding undang-undang di Mahkamah England jika tiada maklum balas daripada mereka.
Sumber: Kosmo Online