Sama ada berakhir dengan baik atau tidak, Syamsul Yusof reda pengakhiran hubungannya dengan isteri pertama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin. Itulah antara kata-katanya ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di sini, hari ini.
Syamsul Yusof memohon kepada semua untuk mendoakan yang terbaik buat dirinya dan Puteri Sarah dalam mencari jalan penyelesaian kemelut rumah tangga mereka.
Advertisement
Syamsul meminta untuk semua pihak berlapang dada dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.
"Saya tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak.
"Doakan yang terbaik kerana kadang-kadang kita tidak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui.
"Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa sahaja," katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.
Terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 8 Mei bagi sebutan kes tuntutan nusyuz difailkan oleh Syamsul 39, terhadap Puteri Sarah, 38.
Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.
Bagaimanapun, Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana terikat dengan tuntutan kerja di luar negara.
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah, di sini.
"Hari ini adalah sebutan nusyuz, tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara,” jelas Syamsul.
Menurutnya lagi, dia reda dengan apa juga keputusan hasil daripada keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai dirinya dan Puteri Sarah pada Isnin depan.
"Insya-Allah, saya cuba reda dengan apa sahaja, mudah-mudahan begitu juga dengan Puteri Sarah.
"Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan melukakan hati Puteri Sarah lagi. Harap boleh selesai dengan baik," katanya.
Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini juga meminta orang ramai untuk mendoakan yang terbaik untuk rakan-rakan artis lain yang turut sama mengalami keretakan rumah tangga.