Ramai rakan artis, para peminat dan orang kenamaan datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Sinead O’Connor sebelum dikebumikan di bandar Bray, 20 kilometer dari Dublin, Ireland, semalam (waktu tempatan).

Malah, beratus-ratus orang berdiri di tepi jalan ketika kereta yang membawa jenazah penyanyi kelahiran Ireland itu melalui bandar tersebut sebelum dikebumikan mengikut syariat Islam.
Advertisement
Malah, Presiden Ireland, Michael Higgins dan Perdana Menteri, Leo Varadkar serta penyanyi kumpulan U2, Bono turut dilihat menghadiri majlis tersebut.
“Kesedihan dan penghargaan yang diberikan terhadap kehidupan serta kerjaya Sinead O’Connor menunjukkan kesan mendalam yang dia berikan kepada rakyat Ireland,” kata Higgins.
Solat jenazah O’Connor atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat dipimpin Ketua Imam Pusat Islam Ireland, Shaykh Dr. Umar Al-Qadri pagi semalam.
Terdahulu, penyanyi itu menukar namanya pada 2018 selepas memeluk agama Islam.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun bulan lalu selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di London.
Sumber: Kosmo Online