Penyanyi popular veteran, Rahim Maarof dikhabarkan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) dan bukan diserang angin ahmar tetapi akibat kenaikan tekanan darah tinggi.

Advertisement
Menurut Aalan Ahmad, pengurus artis kepada Rahim Maarof berkesempatan menziarahi Rahim di hospital, petang semalam.
"Sebenarnya, dia bukan diserang angin ahmar, tetapi tekanan darahnya tinggi. Kemudian, ada cecair di bahagian otak dan doktor sudah keluarkan menerusi pembedahan yang dilakukan Jumaat lalu.
"Saya pergi melawat kira-kira jam 5 petang semalam. Dia dalam keadaan separuh sedar ketika itu," katanya.
Malah, Rahim juga cuba bercakap tetapi tidak dapat difahami kerana keadaannya yang kurang sihat ketika ini.
"Ketika saya sampai, dia sedang tidur. Kemudian, dia terjaga sekejap dan saya sempat berbual. Ada respon daripadanya dan dia cuba bercakap, tapi kita tak faham," katanya.
Kini, Rahim masih dipantau di ICU hospital berkenaan kerana keadaannya yang belum stabil.
"Menurut jururawat, keadaannya masih belum stabil selagi masih di ICU. Kalau dah dipindahkan ke wad biasa, ertinya keadaannya mula stabil.
"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaannya dan sekarang dia masih di bawah pemantauan doktor," katanya.
Sumber: Harian Metro