Baru-baru ini, ramai peminat Search teruja apabila kumpulan rock itu menampilkan gadis berusia 17 tahun mengisi posisi dram mereka ketika melakukan persembahan di Konsert Nusafest 2023 di Bandar Malaysia, pada Sabtu.

Naimi Daini, gadis remaja tersebut tampil bersama Search yang dianggotai Datuk Amy (penyanyi), Nasir Daud (bass), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar) dengan memainkan lapan lagu pada malam itu.
Advertisement
Malah, ramai peminat melihat kemampuan Naimi boleh menjadi pelapis pemuzik terbaik negara jika peluang beraksi dengan kumpulan rock hebat seperti Search.
Nasir ketika dihubungi berkata, buat masa sekarang, Naimi adalah pemain dram undangan berstatus tetap dengan Search selain seorang lagi pemain drama berbakat iaitu Arthur.
"Naimi adalah sebagai permain drum muda yang sangat berbakat pernah kami temui di industri muzik tanah air.
"Memandangkan perjalanan Naimi yang masih jauh dengan usia muda, maka kami memberi ruang dan peluang kepadanya untuk bersama-sama di setiap persembahan kami untuk 'menggali' pengalaman lebih luas," katanya.
Dalam konsert itu, Naimi tampil dengan ketukan padu memainkan lagu-lagu Search seperti Diari Habil & Qabil, Gothik Malam Edan, Isi Atau Kulit, Cakap Memang Murah, Paranoid, Pelesit Kota, Pawana dan medley Rozana / Isabella.
Sumber: Harian Metro