Pelakon tersohor India, Hrithik Roshan bakal kembali ke Malaysia selepas lapan tahun tidak ke negara ini bagi menghiburkan peminat Bollywood di Kuala Lumpur.

Berusia 49 tahun, dia akan menjelajah ke Malaysia melalui siri Stars on Fire Tour dan ia akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember depan.
Advertisement
Malah, Hrithik juga dilaporkan antara artis menerima bayaran termahal dalam dunia perfileman India.
Menurut Pengarah Urusan Yess Boss Groups, Shahkeer Azzat Zailan selaku penganjur, pihaknya teruja membawa Hrithik untuk mengadakan persembahan di hadapan peminatnya.
"Membawa Hrithik Roshan kembali ke Malaysia selepas lapan tahun adalah sebuah misi yang penuh keterujaan.
"Ini akan menjadi tanda aras buat kami yang diberi kepercayaan oleh Dembi Productions dan Yess Boss Groups untuk merealisasikan mimpi peminat melihat Hrithik kembali mempesona dengan skil tarian dan penampilan memukau.
"Apa lagi Hrithik sendiri sangat berbesar hati untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat yang sentiasa menyambut hangat bukan hanya kerja seni, tetapi menghargai dirinya sebagai seorang individu," katanya.
Pelbagai kejutan yang akan dilakukan ketika konsert nanti dan Hrithik tidak akan berseorangan atas pentas.
Dia ditemani pengarah, penerbit dan aktor Prabhudeva untuk turut serta di jelajah konsertnya itu.
Sumber: Harian Metro