Pelakon, Nabila Huda tampil dengan luahannya mengenai sesetengah wanita yang begitu obses untuk memperoleh kulit putih.
Dia juga risau mereka yang mahu mendapatkan kulit putih tanpa memikirkan impak yang akan berlaku kepada diri pada masa hadapan.
Advertisement

Menurut perkongsian di laman Twitter miliknya, Nabila Huda mempersoalkan obsesi kaum wanita terutamanya Melayu yang mahu menukar warna kulit asli mereka.
“Kenapa ramai perempuan Melayu tidak suka dengan warna kulit sendiri? Ramai yang obsesi mahukan kulit putih.
“Kalian sedar atau tidak bahawa kulit warna asli sebenarnya menggambarkan wanita Melayu yang cantik,” katanya.
Kenapa ramai perempuan melayu tak suka warna kulit sendiri? Ramai yang obsessed nak berkulit putih..Korang sedar tak, kulit asli warna kite ni sebenarnya menggambarkan wanita melayu tu cantik..Brown sugar is sexy you know.. i love my skin so much and i am so proud of it..
— Nabila Huda (@abilsuhaimi) January 19, 2023
Berusia 39, pelakon itu juga memaklumkan kesan sampingan boleh terjadi jika individu mengubah warna kulit asli mereka.
“Rugi kalau kalian ubah warna tersebut kerana sekali ubah warna, bermacam-macam bahan kimia yang masuk ke dalam kulit.
“Bayangkan apabila sudah tua nanti, adakah akan kembali coklat seperti asli atau mungkin akan jadi kelabu sebab warna putih dibuat-buat tersebut sudah tamat tempoh,” ujarnya lagi.
Mesra disapa Abil, dia juga memberi pesanan dan nasihat buat wanita di luar sana agar menghargai kecantikan diri sendiri dan mengekalkan warna kulit sawo matang.
“Kepada wanita di luar sana, jangan mudah terpengaruh dengan kecantikan tidak asli dalam media sosial dan hargailah kecantikan atau kekurangan yang ada pada diri anda,” katanya.
Malah, Abil berbangga dapat meyakinkan lebih ramai wanita Melayu tentang keunikan memiliki kulit sawo matang tanpa berlaku diskriminasi antara lain.